Mahkamah Memutuskan Islam Dua Anak Tak Sah. Kekal Buddha.
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 28 Oktober 2021 – Hakim Mahkamah Rayuan YA Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, YA Datuk Nordin Hassan dan YA Datuk S. Nantha Balan hari ini secara sepakat memutuskan pengislaman dua orang anak seorang wanita mualaf sebagai tidak sah dan mereka kekal sebagai Buddha.
Keputusan ini sekaligus menolak rayuan ibu dua orang kanak-kanak tersebut bersama Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan atas perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan permohonan si ayah bagi membatalkan sijil masuk Islam dua anak berkenaan.
Menurut barisan panel tiga hakim itu, keputusan ini adalah berpandukan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi pada tahun 2018.
“…kami berpandangan bahawa hakim Mahkamah Tinggi dan kami, hakim Mahkamah Rayuan terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi,” ujar YA Datuk Mohamad Zabidin yang mempengerusikan penghakiman tersebut.
Dalam kes Indira Gandhi, Mahkamah Persekutuan menafsirkan perkataan “parent” dalam Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan sebagai kedua ibu DAN bapa, bukannya ibu ATAU bapa.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizah Nawawi pada 16 Oktober 2018 menyatakan, Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi menafsirkan Perlembagaan Persekutuan sebagai, izin kedua-dua ibu dan bapa – jika kedua-duanya masih hidup, diperlukan untuk menukar agama anak – sebelum sijil perakuan memeluk agama Islam boleh diberikan kepada anak yang lahir daripada perkahwinan sivil.
Rentetan keputusan kes terbaru ini, ada suara dalam kalangan umat Islam yang mendesak supaya Parlimen menafsir semula peruntukan Perkara 12 (4) kepada salah satu dari ibu atau bapa sahaja.