Mahkamah Delhi Tangguh Letak Patung Dewa Dalam Masjid
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
NEW DELHI, 13 Jun 2022 – Hakim Mahkamah Delhi, Nikhil Chopra menangguhkan perbicaraan rayuan meletakkan berhala-berhala dewa Hindu dan Jain dalam Masjid Qutub Minar yang bersejarah pada tarikh baru 24 Ogos 2022.
Pada bulan Mei yang lalu, Persatuan United Hindu Front (UHF) bersama beberapa persatuan Hindu yang lain membuat tuntutan terbuka untuk mengumandangkan Pemujaan Dewa Hanuman (Hanuman Chalisa) di premis tersebut.
Presiden UHF, Jai Bhagwan Goel berkata bahawa mereka merancang untuk membuat tuntutan secara aman agar Masjid Qutub Minar ditukar menjadi kuil dan supaya permintaan mereka untuk mengumandangkan Hanuman Chalisa itu diterima secara sah.
Beliau mendakwa bahawa masjid tersebut dibina oleh kesultanan Islam di atas tapak tersebut pada 824 tahun dahulu setelah empayar tersebut telah menghancurkan 27 kuil Hindu dan Jain di sana.
Jai Bhagwan Goel juga menuntut agar nama Masjid Qutub Minar itu diubah kepada Vishnu Stambh.
Senada dengan UHF, sebuah lagi persatuan Hindu, Mahakal Manav Sewa telah membuat protes di perkarangan masjid tersebut menuntut supaya ia ditukar nama kepada Vishnu Stambh.
Selain daripada masjid ini terdapat beberapa lagi masjid yang sedang dituntut di mahkamah oleh persatuan-persatuan Hindu untuk diubah menjadi kuil-kuil.
Baru-baru ini, Mahkamah di Varanasi telah mengarahkan pihak berkuasa untuk menyekat solat berjemaah di Masjid Gyanvapi yang berusia 353 tahun kerana dikatakan mengandungi tinggalan Dewa Shiva.
Mahkamah tersebut membuat keputusan untuk menutup masjid itu dan mengharamkan umat Islam untuk mendirikan solat berjemaah di dalamnya selepas lima orang wanita memohon kebenaran mahkamah untuk membuat upacara ritual Hindu di masjid itu kerana menurut mereka, itu adalah tapak lokasi sebuah kuil yang kononnya wujud sebelum pembinaan masjid itu.
Seorang tokoh agama Hindu, Kiran Singh, Setiausaha Agung Vishwa Vedic Sanatan Sangh merangkap isteri kepada presiden NGO itu juga telah mengemukakan petisyen di mahkamah untuk meminta pengharaman kemasukan umat Islam di dalam masjid itu, penyerahan Masjid Gyanvapi kepada persatuan agama Hindu itu, dan kebenaran untuk mengadakan ritual penyembahan Hindu di dalamnya.