Mahasiswa Tahan Lapar: Kerajaan Perkenal Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUTRAJAYA, 06 Julai 2022 – Pihak Kerajaan memperkenalkan Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia menerusi Menu Keluarga Malaysia sebagai inisiatif menangani isu kenaikan kos sara hidup dalam kalangan penuntut universiti, semalam.
Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, menu makanan yang berkualiti akan ditawarkan pada harga siling serendah RM3.50 untuk satu hidangan menerusi inisiatif berkenaan.
Katanya, menu tersebut akan diperkenalkan di restoran-restoran koperasi, kafeteria serta mana-mana premis penjualan makanan yang ada di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT).
Bukan itu sahaja, moratorium bayaran sewa selama enam bulan kepada pengusaha makanan di dalam kampus IPT turut diputuskan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi supaya harga makanan yang lebih rendah dapat diberikan kepada pelajar.
Lapor akhbar Kosmo! Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar mengatakan bahawa seruan Kerajaan itu disahut oleh 74 koperasi yang terdiri daripada restoran, kafe dan katering dalam menyediakan menu pada harga berpatutan dan lebih murah daripada pasaran.
Menurutnya, harga menu yang ditawarkan mencapai 10 hingga 15 peratus lebih murah.
Selain itu, pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut mengambil langkah membantu mahasiswa menangani isu kenaikan kos sara hidup dengan melaksanakan beberapa program demi menjaga kebajikan mahasiswa.
Kelmarin, Samudera.my melaporkan sesetengah mahasiswa terpaksa menahan lapar pada setiap malam berikutan kenaikan harga barang serta kos sara hidup yang meningkat.