Tempatan

MAGERAN 2.0 & Agenda Reset Malaysia – Dato Ramalan Yunus

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR – “Mewujudkan semula Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) 2.0 ini seperti agenda menetapkan semula (Reset) kedudukan negara di landasan sebenar dan hal ini adalah tidak mustahil kerana ia adalah hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” kata Pengerusi World Islamic Chamber of Commerce, Dato Dr Mohd Ramalan Yunus.

Persoalannya, adakah boleh YDPA menerajui tanpa perlu melantik selain baginda atau baginda perlu mengikut seperti norma MAGERAN 1.0, Dr Mohd Ramalan berkata, walaupun tiada larangan untuk YDPA berbuat demikian namun demi menjaga ketinggian dan kemuliaan Institusi Raja-Raja Melayu maka sewajarnya dibentuk jawatankuasa khas untuk mentadbir negara semasa darurat.

Menurutnya, yang terbaik ialah MAGERAN 2.0 ini dianggotai oleh majoriti dari kalangan profesional.

“Yang terbaik begitulah dan saya mencadangkan agar 30 peratus anggotanya terdiri dari ahli-ahli politik dan 70 peratus lagi terdiri dari kalangan profesional.”

Menurut sejarah, MAGERAN pernah ditubuhkan pada tahun 1969 susulan perisytiharan darurat disebabkan tragedi 13 Mei 1969 sebelum dibubarkan pada tahun 1971 dan kemudian kerajaan ketika itu bersepakat menubuhkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, maka seharusnyalah MAGERAN 2.0 ini juga bertujuan dan semestinya bagi mentadbir semula negara.

“Pertama, untuk melaksanakan “Agenda Reset Malaysia” bagi meletakkan kembali negara di landasannya yang sebenar berdasarkan kepada prinsip Rukunegara dan Perlembagaan Persekutuan.”

“Kedua, bagi melaksanakan Visi dan Misi “Agenda Reset Malaysia” selain menjadi tapak kepada “Kebangkitan Islam Dari Timur” dengan menjadikan Malaysia sebagai Digital Hub untuk dunia Islam, Pusat Monetari, Kewangan dan Perdagangan Islam, Halal Hub dan Food Bank.”

Kesimpulannya, “Agenda Reset Malaysia” akan menjadikan Malaysia sebagai Pusat Ekonomi Baru Islam Dunia dengan slogan “To Make Islam Great Again” katanya ketika dihubungi pihak Samudera.my di sini, semalam.

Beliau berkata, MAGERAN 2.0 dilaksanakan demi kepentingan rakyat dan negara bukan demi kepentingan ahli-ahli Parlimen.

Ujarnya lagi, “Islam sebagai agama negara mengikat semua pihak untuk menjadikan Al Quran, Sunnah, Qias dan Ijmak sebagai instrumen semak dan imbang. Bukan Parlimen. Buktinya, Parlimen tidak pernah berupaya untuk menjadi instrumen semak dan imbang.”

Dr Ramalan menegaskan, Proklamasi Darurat tidak boleh dicabar di mahkamah. MAGERAN 2.0 harus digunakan sebagai peluang untuk melaksanakan “Agenda Reset Malaysia.” Agenda yang akan merubah wajah Malaysia secara total.

Ditanya, jika pandemik ini berlanjutan dan perintah darurat diperpanjangkan, bolehkah MAGERAN 2.0 wujud selama perintah darurat itu, beliau berkata, MAGERAN 2.0 bukan ditubuhkan semata-mata bagi menangani pandemik Covid-19 tetapi adalah untuk melaksanakan “Agenda Reset Malaysia.”

“Darurat tidak ada batas waktu maka selama itu MAGERAN boleh terus berperanan untuk mentadbir negara,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: