Madinah Ramadan Kelantan Angkat Tema Cinta Palestin Tahun Ini
KOTA BHARU, 14 Februari 2024 – Tahun ini Kerajaan Kelantan akan mengangkat Cinta Palestin sebagai tema program Madinah Ramadan bagi membangkitkan semangat cintakan bumi Gaza dan Palestin di kalangan umat Islam negeri itu.
Pengerusi Jawatakuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah berkata, “Setiap tahun penganjuran Madinah Ramadan akan menonjolkan konsep berbeza seperti kehijauan, padang pasir dan Masjid Nabawi. Pada tahun ini kita pilih konsep Palestin.”
“Pastinya empat warna bendera negara tersebut akan mewarnai Madinah Ramadan pada tahun ini di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV.”
Tambah ADUN Guchil itu, pihaknya telah menjemput imam dari Palestin yang kini sedang menyambung pengajian PhD di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi menyemarakkan lagi suasana Madinah Ramadan.
Selain itu, mereka turut membawa imam-imam tempatan dan dua imam jemputan dari Yaman dan Mesir, yang merupakan pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Ujarnya lagi, “Untuk makluman semua, hampir 30 program dirangka sepanjang sebulan Ramadan termasuk tahsin 30 juzuk al-Quran yang dibuka secara maya untuk disertai umat Islam di seluruh dunia bersama kupasan ayat dalam dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris.”
Kerajaan Kelantan juga akan membawa masuk program Quran Hour Peringkat Negeri Kelantan anjuran Rumah Ngaji sebagai salah satu aktiviti di Madinah Ramadan.