NGO

MACSA Mengutuk Sekerasnya Peningkatan Islamofobia di India

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

AHAD, 12 Jun 2022 – Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) bersama komuniti antarabangsa mengutuk sekerasnya peningkatan Islamofobia di India sekaligus menggesa kerajaan negara tersebut menghormati perjanjian antarabangsa.

Insiden terbaru di mana seorang pegawai kanan Parti Bharatiya Janata (BJP), Nupur Sharma telah menghina Nabi Muhammad S.A.W. merupakan bukti peningkatan mendadak Islamofobia di negara tersebut.

“Walaupun BJP telah mengulangi bahawa kenyataan itu adalah ‘bertentangan dengan mana-mana ideologi yang menghina atau merendahkan mana-mana mazhab atau agama’ dan ‘tidak menggalakkan orang atau falsafah sedemikian’, Nupur Sharma bukan orang luar bagi parti tersebut,” kata MACSA.

MACSA turut meluahkan kebimbangan terhadap kebangkitan Hindutva-pop yang mengeluarkan lagu-lagu pop anti-Muslim dan sering dimainkan di dalam perhimpunan kumpulan ketuanan Hindu.

Lirik-lirik seperti ‘Kamu bukan manusia, kamu tukang sembelih, cukuplah persaudaraan Hindu-Muslim’, dan ‘India adalah untuk penganut Hindu, Muslim boleh pergi ke Pakistan’ telah dimainkan dan dipopularkan di kawasan negara India yang berbahasa rasmi Hindi.

Di samping itu, MACSA melaporkan bahawa peningkatan sokongan pertubuhan nasionalis Hindu telah meningkatkan ketegangan dalam masyarakat India. Kerajaan pimpinan Narendra Modi turut menyaksikan polarisasi masyarakat negara itu yang penuh dengan ucapan kebencian dan serangan terhadap minoriti India, terutamanya Muslim berlaku setiap hari.

MACSA turut menggesa Narendra Modi untuk bertindak sewajarnya sebelum kebencian terhadap umat Islam semakin berleluasa di India.

Menurut Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), semua ahli negara mesti menghormati Perkara 2 yang menyatakan, “Setiap orang adalah berhak kepada semua hak-hak dan kebebasan yang termaktub dalam Perisytiharan ini, tanpa sebarang apa jua pembezaan, seperti bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, agama, fahaman politik atau lain-lain fahaman, asal-usul bangsa keturunan atau sosial harta-benda, kelahiran atau apa-apa taraf lain.”

Selain Perkara 2, MACSA turut menekankan Perkara 18 yang memberi hak kepada kepercayaan agama, “Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan berfikir, perasaan hati dan agama; hak ini termasuklah kebebasan menukar agama atau kepercayaannya, dan kebebasan, sama ada secara bersendirian atau secara bersama-sama dengan orang-orang lain dan secara terbuka atau bersendiri, menganuti agama atau kepercayaannya melalui pengajaran, amalan, pemujaan dan pematuhan.”

Kata MACSA, India sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) harus bertanggungjawab untuk mematuhi dan menghormati kewajipannya dalam organisasi tersebut.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: