Lulus! Bomoh, Sihir & Pengkid Kini Satu Jenayah Syariah
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA TERENGGANU, 02 Disember 2022 – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam meluluskan empat seksyen baharu untuk Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.
“Empat seksyen baharu yang diwujudkan dalam enakmen itu melibatkan kesalahan perbomohan dan sihir, hamil atau melahirkan anak luar nikah, perempuan berlagak seperti lelaki (pengkid) dan persediaan melakukan liwat,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Terengganu, Datuk Satiful Bahri Mamat, menurut laporan sebuah portal tempatan.
Ujar beliau lagi, “Beberapa penambahbaikan yang dibuat antaranya memaksimumkan hukuman berdasarkan peruntukan 356 iaitu tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan.”
Tambahnya, pindaan enakmen ini sangat tepat pada masanya memandangkan lebih 20 tahun ia digubal dan kali terakhir pindaan dibuat adalah pada tahun 2016 iaitu hanya melibatkan lima seksyen sahaja.
“Dengan pelaksanaan hukuman itu nanti, Kerajaan Negeri berharap rakyat Terengganu akan mematuhi perundangan Islam selaras matlamat menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri yang maju, berkat dan sejahtera,” katanya.
Keempat-empat enakmen ini akan mula dilaksanakan setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.