Tempatan

Juadah Berbuka Ramadan Tidak Terjual Disedekahkan – NGO

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 17 April 2023 – Sekumpulan sukarelawan akan mengumpulkan juadah berbuka yang tidak terjual di bazar Ramadan dan disedekahkan kepada golongan kurang berkemampuan.

Kumpulan sukarelawan NGO, Pertubuhan Belia Gema Malaysia berkata mereka sedia mengagihkan semula lebihan pelbagai jenis makanan dan minuman kepada golongan kurang mampu termasuk gelandangan, keluarga berpendapatan rendah, golongan yang tinggal di rumah pangsa kos rendah serta masjid-masjid.

Adamsyam Daniel Syamsyawal, Ketua Pasukan di Bazar Kampung Baru berkata, “Memandangkan kami telah melakukan ini selama tiga tahun berturut-turut, para peniaga sudah menjangkakan kami dan ia memudahkan proses ini.”

Jelasnya, “Peniaga sudah maklum yang kami akan datang jadi mereka meletakkan barang mereka yang tidak terjual, dibungkus kemas di atas meja, jadi kami hanya mengucapkan terima kasih dan meletakkan makanan atau minuman dalam beg jinjing kami.”

BACA JUGA: Negara Arab Jangka Sambut Aidilfitri Sabtu, 22 April

BACA JUGA: Main Mercun Lepas Jam 12 Malam Boleh Dikenakan Tindakan Undang-Undang

BACA JUGA: 2 Kawasan Terus Catat IPU Tidak Sihat

Menurut Adamsyam, para sukarelawan diberikan petua keselamatan dan bagaimana cara sopan untuk meminta peniaga menderma makanan atau minuman mereka yang tidak terjual.

Gerak kerja akan dibahagikan kepada lima kumpulan; tiga kumpulan akan bergerak ke bazar, manakala dua lagi akan tinggal di restoran yang dikatakan sebagai ‘ibu pejabat sementara’ Gema untuk menimbang hasil juadah yang terkumpul sekali gus direkodkan dalam pangkalan data NGO itu.

Sebelum diedarkan, sukarelawan akan menilai juadah terlebih dahulu dengan menghidu dan meneliti makanan lalu meletakkan pelekat ‘selamat untuk dimakan’ bagi memastikan penerima tidak mendapat keracunan makanan.

“Pelekat itu mempunyai garis panduan dan memberitahu pengguna untuk ‘melihat, menghidu, dan merasa’ sebelum mereka makan. Pelekat itu juga mengarahkan pengguna untuk memakan makanan dalam tempoh dua jam selepas menerimanya,” ujar sukarelawan.

Berdasarkan data Gema setakat 13 April lalu, sebanyak 121 tan lebihan makanan dan minuman terkumpul dari bazar Ramadan daripada 1,334 sukarelawan seluruh negara. Antara juadah yang paling biasa dibazirkan adalah kuih-muih iaitu lebih 3 tan kutipan sejak hari pertama Ramadan.

Selain itu, Adamsyam mendedahkan bahawa kutipan makanan dari Bazar Kampung Baru juga telah mengatasi bazar lain seluruh negara iaitu lebihan juadah bernilai 1,762 kg, diikuti bazar di Jalan BBN 1/7A, Bandar Baru Nilai (1,263kg) dan bazar Saujana Utama, Sungai Buloh (1,177kg).

Presiden Pemuda Gema, Nasim Ralim turut mengharapkan kesedaran orang ramai bukan sahaja terhadap pengambilan makanan tetapi juga lebihan makanan yang dibuang setiap hari.

Maklumnya, “Dalam perangkaan global, kita adalah antara negara teratas bagi sisa makanan per kapita.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: