Lubnan Capai Persetujuan Sempadan Maritim Dengan Rejim Haram Aparteid Israel
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
LUBNAN, 12 Oktober 2022 – Sebuah persetujuan telah dicapai antara Lubnan dan kerajaan rejim haram aparteid Israel berikutan isu persempadanan maritim di sebuah kawasan yang menjadi perebutan kedua-dua negara terbabit.
Menurut laporan, Amerika Syarikat (AS) telah menjadi ‘orang tengah’ bagi memeterai persetujuan yang bakal membawa keuntungan berbilion dolar kepada ekonomi kerajaan rejim haram aparteid Israel.
“Ini adalah detik bersejarah yang bakal memperkukuh keselamatan Israel, menyuntik berbilion kepada ekonomi Israel, dan memastikan kestabilan sempadan utara kita,” ujar Yair Lapid, Perdana Menteri Israel.
Perjanjian tersebut adalah melibatkan sebuah kawasan timur Lautan Mediterranean yang menjadi sebuah kawasan rebutan bagi operasi cari gali gas asli.
Presiden Lubnan, Michel Aoun pula menyifatkan perjanjian tersebut sebagai sesuatu yang “memuaskan”, manakala perunding yang dilantiknya pula menyatakan bahawa perjanjian tersebut telah mengambil kira kehendak-kehendak Lubnan.
Namun, setakat ini, dokumen tersebut masih menunggu untuk disahkan secara rasmi oleh pihak kerajaan Lubnan dan rejim haram aparteid Israel.