Tempatan

LTTE VS DAESH: Di Mana Keadilan Hukuman? – Dr Kamarul Zaman Yusoff

KUALA LUMPUR – Dr Kamarul Zaman Yusoff, seorang Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) memberitahu bahawa Tan Sri Tommy Thomas pernah membebaskan penyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sewaktu menjawat jawatan sebagai Peguam Negara.

“Saya teringat kepada kenyataan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman waktu itu, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, mengenai tangkapan pada 10 Oktober 2019 ke atas ADUN N24 Seremban Jaya merangkap Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, YB Gunasekaren Palasamy, dan ADUN N7 Gadek merangkap Setiausaha Organisasi DAP Melaka merangkap Ketua DAPSY Melaka pada waktu itu, YB Saminathan Ganesan, kerana menghadiri program Hari Perwira LTTE di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Taman Ayer Keroh Heights, Melaka, menyampaikan ucapan yang menyokong LTTE dan mengedar item-item yang berkaitan dengan LTTE di dalam program tersebut.”

“Pada 29 Oktober 2019, YB Saminathan didakwa di bawah Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan kerana memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dan didakwa di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki item berkaitan kumpulan pengganas LTTE manakala YB Gunasekaren pula didakwa di bawah Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan kerana memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE.”

Namun, menurut Dr Kamarul, atas arahan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara pada ketika itu, prosiding tidak dapat diteruskan walaupun dibangkang keras oleh Tan Sri Muhyiddin yang pada waktu itu memegang jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri.

Ini kerana Tommy mendakwa bahawa mahkamah tidak mempunyai sebab untuk melabel LTTE sebagai pengganas.

Kenyataan ini pula disokong oleh Tun Dr Mahathir yang pada waktu itu memegang jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Begitupun, hasil daripada arahan untuk tidak meneruskan prosiding yang dikeluarkan oleh Peguam Negara waktu itu, Tan Sri Tommy Thomas, yang mendapat dokongan daripada Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr Mahathir, yang menyebut secara rasmi “tidak ada sebab kita teruskan label LTTE sebagai terrorist”, walaupun Menteri Dalam Negeri waktu itu, Tan Sri Muhyiddin, tegas mengumumkan pada 22 Februari 2020 bahawa beliau “mempunyai asas yang kukuh untuk mengekalkan penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas” dan bahawa “Peguam Negara tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan yang berada di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri, maka YB Gunasekaren pun dilepas dan dibebaskan pada 24 Februari 2020 dan YB Saminathan pula dilepas dan dibebaskan pada 25 Februari 2020.”

Perkara ini membuatkan Dr Kamarul tidak berpuas hati apatah lagi apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru sahaja menjatuhkan hukuman 16 tahun penjara terhadap seorang penyokong kumpulan pengganas DAESH.

“Nahzatulazran A Rahman dijatuhkan hukuman hukuman penjara 10 tahun di bawah Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan kerana memberi sokongan kepada kumpulan pengganas DAESH dengan cara mengedar bendera dan kain kepada beberapa individu, penjara 3 tahun di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki item berkaitan kumpulan pengganas DAESH dan hukuman penjara 3 tahun di bawah Seksyen 130JB(1)(b) Kanun Keseksaan kerana mengedar item berkaitan kumpulan pengganas DAESH.”

Bagi penganalisis politik itu, tahap hukuman terhadap Nahzatulazran berbeza sekali berbanding dengan hukuman yang dijatuhkan terhadap penyokong kumpulan LTTE walaupun kedua-dua kumpulan adalah kumpulan pengganas.

“Malangnya mengapa Nahzatulazran dijatuhkan hukuman penjara tetapi YB Gunasekaren dan YB Saminathan dilepas dan dibebaskan begitu sahaja?”

“Di manakah keadilan?” soal Dr Kamarul mengakhiri kenyataan.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan pernah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin meminta agar kumpulan LTTE tidak lagi diklasifikasikan sebagai kumpulan pengganas.

Beliau juga mempersoalkan mengapa LTTE ditolak tetapi HAMAS yang didakwanya juga merupakan sebuah kumpulan pengganas, diterima di Malaysia.

“Bukan saya kata Hamas tu terroris, Hamas ditakrif sebagai terroris oleh Amerika Syarikat. Dunia cakap Hamas tu terroris,” dakwanya.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button