LRT, MRT, Bas Dan Lain-Lain Percuma Sebulan Bermula Hari Ini – PM
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 16 Jun 2022 – RapidKL akan memberikan perkhidmatan percuma selama sebulan bermula 16 Jun 2022 bagi semua pengangkutan awam miliknya, menurut pengumuman Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob.
Perkhidmatan ini adalah merangkumi MRT, LRT, BRT, Monorel dan bas RapidKL.
Beliau membuat pengumuman itu dalam Majlis Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Kampung Batu sebentar tadi.
“Sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu, saya dengan sukacitanya mengumumkan perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL iaitu MRT, LRT, BRT, Monorel serta bas RapidKL selama satu bulan bermula hari ini,” kata Perdana Menteri.
Perdana Menteri berharap agar pengumuman sedemikian dapat meringankan beban yang dideritai rakyat ekoran kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup masakini.
Perdana Menteri berkata, MRT Laluan Putrajaya ini adalah dibangunkan dalam dua fasa yang bakal memberi perkhidmatan kepada hampir dua juta penduduk yang terdapat di koridor dari Kwasa Damansara ke Putrajaya.
“Pembukaan sepenuhnya MRT Laluan Putrajaya dijangka mencatat bilangan awal penumpang harian melebihi 104,000 orang.
“Ini diharap dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang kini menghantui Kuala Lumpur,” kata beliau lagi.