Tempatan

Logo Halal Tidak Sah: Kilang Proses Biskut, Roti Diserbu

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

TELUK INTAN, 28 Jun 2024 – Sebuah kilang memproses biskut dan roti di Jalan Pasar di sini diserbu semalam selepas menggunakan logo halal tidak sah bagi tujuan perdagangan dan jualan di pasaran, lapor berita tempatan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dijalankan pada Rabu sekitar jam 11 pagi dan pemeriksaan dijalankan oleh penguatkuasa KPDN Cawangan Teluk Intan.

“Pemeriksaan mendapati premis itu mempunyai sijil halal yang sah bagi 26 jenis produk makanan biskut dan roti yang dikilangkan untuk jualan.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat satu produk makanan (biskut) yang dikilangkan dan ditawarkan untuk jualan di premis ini tiada dalam senarai sijil halal.

Katanya, sebanyak 35 bungkus produk biskut yang dijumpai di dalam premis yang telah siap dibungkus dengan penandaan logo halal dan dipamerkan untuk jualan kepada pelanggan.

Oleh yang demikian, pihaknya telah menyita kesemua 35 bungkus produk biskut, bungkusan kosong yang dicetak logo halal dan beberapa dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan lanjut menjadikan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM620.36.

“Kes ini akan disiasat di bawah Perintah (8)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana disyaki sebagai pemilik premis perniagaan telah memperaku mana-mana makanan, barang-barang atau perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang-barang itu adalah halal,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa KPDN memandang serius peniaga yang menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk makanan atau barangan keluaran yang melanggar undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

“Masyarakat atau pengguna disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa bagi menyalurkan maklumat berhubung produk makanan dicurigai status penandaan logo halal,” ujarnya lagi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: