Tempatan

Log Kapten 0001 : Perlembagaan Bahasa Melayu & Niat Penggubal Perkara 160B

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Doktrin pemisahan kuasa negara menetapkan Undang-undang dibuat oleh pihak Legislatif, iaitu kedua-dua Dewan Parlimen, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Pada 2001, Pindaan kepada Perlembagaan dibuat oleh pihak legislatif dengan memasukkan Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan sebagaimana berikut :

Perkara 160B. Teks sahih.

Jika Perlembagaan ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa kebangsaan. Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan teks bahasa kebangsaan itu sebagai teks sahih, dan selepas itu, jika ada percanggahan atau perselisihan antara teks bahasa kebangsaan itu dengan teks bahasa Inggeris Perlembagaan ini, teks bahasa kebangsaan itu hendaklah mengatasi teks bahasa Inggeris itu.

Perkara baru ini dimasukkan oleh Akta A1130, seksyen 12, berkuat kuasa dari 28-9-2001, untuk membolehkan Yang di-Pertuan Agong menetapkan terjemahan bahasa kebangsaan Perlembagaan Persekutuan sebagai teks sahih.

Kemudian pada 29 September 2003, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, melancarkan Perlembagaan Persekutuan di dalam Bahasa Melayu.

Pelancaran ini dibuat setelah pihak Jabatan Peguam Negara berasa yakin dengan daya maju (viability) Teks Bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan setelah menggerakkan usaha penterjemahan sejak 1970 an. Memetik laporan The Star, pada 29 September 2003;

Speaking to reporters after the ceremony, Solicitor-General Datuk Zaitun Zawiyah Puteh said translations of the Federal Constitution started in the 1970s but it was not until last year that the Attorney-General’s office felt confident in the viability of the Malay text. 

Dalam peristiwa pelancaran Teks Bahasa Melayu pada 29 September 2003 itu, tiga perkara besar telah dicatatkan.

1) Bahawa pihak Jabatan Peguam Negara berpuas hati dan yakin dengan Teks Bahasa Melayu yang siap dihasilkan.

2) Teks Bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan itu telah dicetak.

3) Teks Bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan yang dicetak itu telah dilancarkan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Persoalan yang timbul ialah, apakah peristiwa pelancaran yang berlaku pada 29 September 2003 itu menandakan Teks Bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan itu secara automatiknya, selepas peristiwa tersebut, diangkat sebagai Teks Rasmi Perlembagaan Persekutuan bermula pada tarikh tersebut?

Merujuk persoalan ini, mungkin kita boleh kembali merujuk kepada niat asal pihak yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dengan punca kuasa penggubalan Perkara tersebut.

Niat Penggubal Perkara 160B Perlembagaan Persekutuan.

Merujuk kepada Hansard Parlimen bertarikh 14 Ogos 2001 muka surat 29, semasa sesi perbahasan mengenai Pindaan Perlembagaan yang turut melibatkan cadangan penggubalan Perkara 160B, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Utama Dr. Rais bin Yatim menyatakan :

Kalau kita tidak pinda peruntukan ini, bermakna apa pun kita buat dalam Perlembagaan atau undang-undang, Bahasa lnggeris itu tetap menjadi naskhah sah.

Dengan yang demikian, Jabatan Peguam Negara telah berunding dengan pihak Jabatan Perdana Menteri mendapati bahawa harus dipinda perkataan-perkataan atau peruntukan-peruntukan itu dan setelah dipotong, maka sekarang dimuatkan kehendak asas iaitu menjadilah bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di bawah perkara-perkara tertentu yakni 152 Perlembagaan. Di samping itu bahasa Melayu juga akan menjadi bahasa sahih dalam semua undang-undang setelah undang-undang itu diterjemahkan atau setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Suka saya menjawab soalan daripada Yang Berhormat Datuk Ghazi yang bertanya adakah undang-undang negara diterjemahkan. Jawabnya ada, dan semua undang-undang negara telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu termasuk Perlembagaan. Jadi, sekarang setelah berkuat kuasa pindaan ini, naskhah yang dicetak dalam bahasa Melayu itu nanti bolehlah diperuntukkan terus sebagai naskhah sahih.

Menurut Datuk Dr Rais Yatim, selepas berkuatkuasa pindaan Perlembagan tersebut, naskhah yang dicetak dalam bahasa Melayu itu nanti bolehlah diperuntukkan terus sebagai naskhah sahih.

Perkara 160B, sebagaimana yang dinyatakan di atas, dikuatkuasakan pada 28 September 2001, melalui Akta A1130, seksyen 12.

Syaratnya, ianya boleh diperuntukkan terus sebagai naskhah sahih apabila dicetak selepas pindaan berkuat kuasa. Majlis Pelancaran Naskhah Perlembagaan Bahasa Melayu pada 29 September 2003 itu, mempunyai semua elemen yang diperlukan untuk menjadikan Naskhah Bahasa Melayu tersebut sebagai Naskhah Sahih Perlembagaan.

Persoalan yang berbangkit ialah, kenapa sehingga hari ini, berlaku pelbagai bentuk usaha untuk mengelak tarikh keramat 29 September 2003 sebagai tarikh di mana Perlembagaan Persekutuan Bahasa Melayu diperuntukkan sebagai naskhah sahih?

Kami akan cuba mendapatkan jawapan persoalan di atas dalam laporan-laporan menyusul.

Ketua Editor,
Samudera.my

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: