Liwat Tawanan Palestin Guna Batang Penyapu Tidak Salah – MP Israel
YAFFA, 02 OGOS 2024 – Ahli parlimen Israel yang mewakili parti Likud, Hanoch Milwidsky telah mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan memasukkan batang penyapu ke dalam lubang dubur tahanan Palestin adalah sah.
Kenyataan tersebut dikeluarkan sewaktu beliau disoal oleh seorang lagi ahli parlimen, Ahmad Tibi berkenaan kewajaran tindakan penyiksaan tersebut.
Isnin lalu, pihak ketenteraan Israel telah bertindak menangkap lapan individu bagi tujuan penyiasatan berkenaan tuduhan penyiksaan terhadap tahanan Palestin yang mana penangkapan tersebut telah mencetuskan rusuhan, termasuklah dalam kalangan beberapa orang ahli parlimen yang telah memecah masuk ke dalam pangkalan tentera bagi menuntut pembebasan lapan individu terbabit.
Pada awalnya sepuluh orang tentera telah ditahan bagi tujuan yang sama, namun pada Rabu lalu, dua daripada yang ditahan telah dilepaskan manakala lapan lagi berada dalam tahanan sehingga Ahad ini.
Menurut pihak ketenteraan Israel, kesemua mereka telah dituduh dengan tuduhan melakukan liwat yang teruk yang menyebabkan kecederaan pada tubuh serta penderaan.
Sewaktu ditanya oleh Ahmad Tibi berkenaan kewajaran tindakan memasukkan batang penyapu ke dalam dubur seseorang, Milwidsky dalam keadaan tegang telah menjawab dengan suara yang tinggi,
“Ya! Jika orang tersebut seorang Nukhba, semuanya wajar dilakukan! Kesemuanya”!
Nukhba adalah merujuk kepada unit khas bagi Briged Al-Qassam.
Israel telah menegaskan bahawa tahanan Palestin dilayan selaras dengan undang-undang antarabangsa namun agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan juga kumpulan-kumpulan hak asasi manusia telah menimbulkan kebimbangan tentang laporan-laporan kes penderaan.