Liga Arab Kecam Israel Rampas Tanah Di Baitulmaqdis Timur
KAHERAH, 15 Disember 2023 – Liga Negara-Negara Arab mengecam rampasan tanah Silwan di Baitulmaqdis Timur, Palestin oleh pihak berkuasa Israel. Tindakan Israel itu jelas melanggar Undang-Undang Antarabangsa dan Resolusi Majlis Keselamatan.
Pada awal Disember yang lalu, Israel telah mengumumkan bahawa ia akan merampas tanah di Silwan bagi tujuan untuk membina landasan kereta api di atas kawasan itu.
Manakala jurucakap Liga Negara-Negara Arab Jamal Rushdi berkata, tindakan Israel itu telah melanggar Undang-Undang Antarabangsa dan Resolusi Majlis Keselamatan yang melarang langkah unilateral di wilayah yang diduduki.
Rushdi berkata bahawa perampasan harta benda dan pemindahan penduduk dari Baitulmaqdis Timur adalah sebahagian daripada rancangan sistematik Israel untuk menakluk bandar itu, iaitu dengan mengambil kesempatan daripada keasyikan global dengan operasi ketenteraan di Gaza.
Memandangkan pada masa kini kerajaan sayap kanan yang memimpin Israel, Rushdi mengingatkan masyarakat antarabangsa agar memberi perhatian kepada dasar-dasar berbahaya Israel, terutamanya terhadap tapak suci di Baitulmaqdis.
Pada masa yang sama juga, Rushdi turut memuji usaha kemanusiaan UNRWA di tengah-tengah kempen ketenteraan yang dilancarkan oleh Israel terhadap Gaza.
Kakitangan UNRWA menjalankan misi yang berani dan mulia semata-mata untuk tujuan kemanusiaan, katanya, sambil menambah bahawa agensi tersebut turut mendapat sokongan dan menjadi talian hayat ratusan ribu rakyat Palestin yang bergantung pada bantuan dan perkhidmatannya.