LGE: Jangan Campur Tangan Dan Buat Provokasi – PEMBELA
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 15 September 2021 – PEMBELA menyarankan agar YB Lim Guan Eng tidak campur tangan dan melakukan provokasi atas perkara yang tidak ada kena mengena dengannya seperti dalam isu empat akta baharu yang akan digubal untuk memperkasa perundangan Syariah.
“PEMBELA menyambut baik empat cadangan Rang Undang-Undang sebagaimana yang disebut oleh Timbalan Menteri Agama, YB Marzuk Shaary berkaitan perundangan yang melibatkan pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam dan pemerkasaan Mahkamah Syariah,” kata Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya.
“Secara umumnya, konsep asas kepada rang undang-undang yang dicadangkan ini bukanlah suatu perkara yang asing dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang disebut oleh Setiausaha Agung Parti DAP, YB Lim Guan Eng dan Ketua Menteri Sabah, YAB Hajiji Noor dari parti BERSATU.”
Tegasnya, undang-undang yang dicadangkan adalah berasaskan kepada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut Dewan Undangan Negeri (bagi negeri) dan Parlimen (bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan) boleh membuat undang-undang bagi mengawal dan menyekat pengembangan doktrin agama dan kepercayaan bukan Islam di kalangan orang Islam.
Oleh itu, jika ruu ini diluluskan, ia hanya akan terpakai untuk Wilayah-Wilayah Persekutuan sahaja, kata Aminuddin
“Selama ini sebanyak sepuluh buah negeri sudah pun mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam dan langsung tidak pernah dipertikaikan keabsahannya.”
“Ketua Menteri Sabah tidak perlu membantah kerana selagi Dewan Undangan Negeri berkenaan tidak membuat undang-undang tersebut, akta yang ingin digubal tersebut tidak dapat diaplikasi kepada Sabah. Jika DUN Negeri Sabah menolaknya, maka ianya tidak akan dilaksanakan dan ketika itu rakyat akan menilai kepimpinan DUN tersebut yang diketuai oleh beliau sendiri,” tambahnya.
Justeru, PEMBELA memberi amaran kepada ahli-ahli politik agar tidak mempolitikkan isu ini secara semberono sebagaimana YB Lim Guan Eng dan YAB Hajiji lakukan dengan mendakwa rang undang-undang tersebut adalah tidak berperlembagaan.
“Rakyat sedang menilai dan kami tidak teragak-agak melondehkan permainan politik murahan kalian.”