LGBT Tuntut Hak Berkeluarga, Ambil Anak Angkat
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
NICOSIA, 26 September 2022 – “Tugas kami adalah untuk membina masyarakat terbuka dan inklusif. Kami tidak boleh menunggu bertahun-tahun untuk bahagian-bahagian undang-undang diluluskan,” demikian kenyataan Naib Presiden Accept-LGBTI yang juga penganjur perarakan LGBT Cyprus, Antonis Papageorgiou, semasa menuntut supaya perkahwinan sesama jenis turut diiktiraf di bawah undang-undang Cyprus.
Susulan daripada ketiadaan pengiktirafan undang-undang keluarga buat pasangan sejenis, ratusan aktivis golongan LGBT berarak membanjiri jalan di ibu negara Cyprus, bagi menuntut hak asasi tanpa mengira orientasi seksual.
Disebabkan ketiadaan pengiktirafan tersebut, pasangan sesama jenis yang ingin menuntut hak penjagaan anak angkat, terhalang dari boleh berbuat demikian.
Menggunakan bahasa Cypriot, “Gamos Gia Oullous” yang membawa maksud perkahwinan untuk semua sebagai slogan perarakan di Nicosia adalah untuk menekankan bagaimana mentaliti tempatan mampu untuk mengubah dasar.
Cyprus secara terhad membenarkan hak perkongsian hidup sesama jantina tetapi tidak membenarkan perkahwinan sesama jantina.
Golongan LGBT di sana turut membangkitkan isu pengiktirafan pengubahan jantina dokumen negara, yang tertangguh sejak 2015. Ia hanya diluluskan baru-baru ini oleh kabinet pulau itu dan kini telah dibawa ke parlimen, lapor media tempatan.
Menteri kehakiman Cyprus, Stefi Drakou mengakui bahawa negara itu perlu melakukan banyak perkara bagi menamatkan semua bentuk diskriminasi berdasarkan orientasi seksual dan identiti jantina. Katanya lagi, reformasi perlahan telah menyaksikan Cyprus ketinggalan berbanding negara lain.