Surat Pembaca

LGBT SUHAKAM Laju, Hak Lain SUHAKAM Bisu

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Saya terpanggil menulis perkara ini kepada Samudera.my. Saya melihat pendekatan berpilih yang diamalkan SUHAKAM sejak sekian lama.

Apabila timbulnya isu-isu berkenaan hak LGBT yang merupakan perbuatan jenayah tidak kira di peringkat Syariah atau Sivil, SUHAKAM seperti halilintar memecah kelajuan berusaha keras menjadi hero pembela hak asasi golongan tersebut.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut merekrut figura yang terkenal terpalit dengan isu-isu perjuangan golongan LGBT dengan hujah-hujah songsang untuk memperkenalkan serta memperjuangkan hak gender ketiga.

SUHAKAM di dalam bab ini, sangat laju dan efisien. Walaupun pada hakikatnya, amalan memperjuangkan naratif songsang ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, Prinsip Rukunegara, Undang-Undang Syariah dan Undang-Undang Sivil.

Tidak setakat itu, SUHAKAM juga melanggar akta mereka sendiri iaitu Akta SUHAKAM (Akta 597). Seksyen 4(4) Akta SUHAKAM menetapkan dengan jelas, perhatian SUHAKAM hendaklah diberikan kepada Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 setakat yang perisytiharan itu tidak tak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sepanjang kewujudannya, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SUHAKAM dilihat sentiasa memperjuangkan perkara-perkara yang bertentangan dengan Seksyen 4(4) Akta SUHAKAM itu sendiri.

Salah siapa? Salah SUHAKAM atau salah barisan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya yang dilantik?

Jawapannya sangat jelas, niat penubuhan SUHAKAM merupakan satu niat yang baik, akta penubuhannya diwartakan dengan baik, cuma semua kebaikan itu menjadi rosak apabila Pesuruhjaya-Pesuruhjaya yang dilantik, membawa perkara yang bertentangan dengan Akta SUHAKAM itu sendiri.

Kita sudah dengar terlalu banyak teguran yang dibuat pelbagai pihak yang gusar dengan pendekatan-pendekatan yang diambil oleh Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SUHAKAM. Kontroversi menyokong hak kewujudan komuniti LGBT, cadangan iktiraf dan sahkan pelacuran, perjuangkan isu gender ketiga, mengatakan undang-undang murtad di Malaysia satu diskriminasi dan pelbagai kontroversi lagi.
Tetapi amat jarang kita dengar SUHAKAM memperjuangkan hak wanita Muslim yang didiskriminasi di tempat kerja berikutan cara pemakaian patuh agama mereka. Mereka jarang bersuara tentang hak asasi pekerja Muslim untuk menjalankan tanggungjawab agama mereka di tempat kerja. Malah, apabila isu terbaru dibangkitkan tentang diskriminasi, hak, kebajikan dan penindasan golongan rider serta vendor P-Hailing, SUHAKAM masih belum bersuara.

Sudah tiba masanya kerajaan yang mempunyai kuasa melantik Pesuruhjaya-Pesuruhjaya ini untuk menimbang semula pelantikan mereka dan menggantikan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya ini dengan pihak yang tahu dan hormat kepada Perlembagaan dan Akta SUHAKAM itu sendiri.

SUHAKAM perlu dibersihkan. Ia perlu dibersihkan dengan segera.

Razman Hashim
Pembaca Samudera.my

Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: