Tempatan

Letak TH Bawah BNM Seolah Rendahkan Umat Islam – Haji Aminuddin Yahaya

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 24 Julai 2021 – “Meletakkan Lembaga Tabung Haji (LTH) di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) bukan sahaja akan menjejaskan kepentingan lebih 9 juta pendeposit malah menggusarkan umat Islam keseluruhannya kerana dilihat sebagai sesuatu yang memalukan dan seolah-olah merendahkan martabat umat Islam,” tegas Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Tuan Haji Aminuddin Yahaya.

Menurutnya, cadangan itu akan memberikan implikasi yang negatif kepada masa depan dan nasib pendeposit selain LTH tidak lagi bebas untuk mengembangkan perniagaannya.

Maka secara automatiknya, kekuatan ekonomi umat Islam akan terbatas malah mungkin lumpuh.

Beliau berkata, status LTH adalah lebih besar dari hanya sebagai sebuah institusi kewangan yang ditubuhkan untuk bukan sahaja sebagai tempat orang Melayu menyimpan wang mereka tetapi juga satu institusi yang membina kekuatan ekonomi orang Melayu.

Dengan meletakkan LTH di bawah BNM, adakah fungsi ini dapat digerakkan atau apakah ianya akan dikekang disebabkan oleh peraturan yang ada di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013?

Tambah beliau lagi, umum mengetahui bahawa kakitangan BNM tidak semuanya orang Islam.

Adakah akhirnya sebuah institusi Islam akan diurustadbir oleh orang bukan Islam dan apakah kepentingan umat Islam dapat difahami dan dijamin jika ianya ditadbir oleh bukan Islam?

“Tidakkah dengan menyenaraikan LTH sebagai sebuah “Institusi kewangan Islam yang ditetapkan” akan merendahkan statusnya menjadi seperti sekadar sebuah bank? Walhal LTH sudah pun memiliki Bank Islam sebagai sebuah syarikat subsidiari.”

Menurut Aminuddin, dalam prinsip Maqasid Syariah, ada 5 perkara yang perlu dijaga selain memelihara agama (Hifzu-Ddin), iaitu menjaga harta (Hifzul-Maal) dan LTH adalah jelas sebagai sebuah institusi yang menjaga harta umat Islam bukan sekadar menjaga pengerjaan ibadah haji.

Isunya, bukan simpanan dijamin atau tidak tetapi persoalannya adakah dengan meletakkan di bawah seliaan BNM maka LTH akan dapat berfungsi sebagaimana yang ada sekarang ini iaitu melakukan pelbagai aktiviti perniagaan, sebagaimana yang terkandung di dalam objektif asal penubuhan LTH.

“Jika ‘governance’ yang menjadi isu, maka solusinya tidak semestinya ia perlu diletakkan di bawah BNM sahaja. LTH perlu diperkemaskan SOP dan sistem pentadbirannya.”

“Sebagai contoh, meletakkan syarat dalam Akta TH 1995 bahawa ahli politik tidak boleh terlibat di dalam pengurusan sama ada sebagai Board Member atau Pengerusi. Dan perkara ini boleh dilakukan di dalam struktur LTH sahaja, bukan bawah BNM,” ujar Haji Aminuddin.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button