Letak Garis Panduan Tegas, Elak Percampuran Lelaki Perempuan – Presiden PEMBINA
KUALA LUMPUR, 20 Jun 2023 – Penganjuran konsert di institusi pengajian tinggi (IPT) wajar diletakkan garis panduan tegas bagi mengelakkan percampuran melampau antara mahasiswa lelaki dan perempuan.
Demikian ujar Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Muhammad Wafiq Azman ketika dihubungi media tempatan berhubung isu penganjuran konsert di IPT.
Katanya, garis panduan kawalan yang ditetapkan itu perlu merangkumi beberapa aspek terutamanya aspek pemilihan artis, pembawaan lagu dan penghadang antara penonton lelaki dan perempuan.
BACA JUGA: Cuaca Panas: 64 Jemaah Haji Malaysia Terima Rawatan Jangkitan Paru-Paru
BACA JUGA: PM Gesa Syarikat Beri Elaun Kepada Pelajar Latihan Industri
BACA JUGA: Selepas Batal Lesen Judi, MB Perlis Janji Hapuskan Judi Haram
Menurut beliau, “Sememangnya perlu, wajar sekali untuk kita kawal selia. Contoh cadangan untuk kita kawal selia adalah pertama: kita asingkan kedudukan wanita dan lelaki dalam konsert tersebut, diasingkan kedudukannya, tidak boleh bercampur atau pun bergaul secara dekat.”
“Yang keduanya dari sudut artis ataupun penyanyi yang dijemput, perlu menjemput artis-artis yang tiada isu-isu, masalah sosial yang kritikal. Dari sudut kesopanannya bagus, sopan dan tatasusilanya bagus, takde isu-isu yang kritikal terpalit kepada artis tersebut.”
Tambah beliau lagi, pemilihan lagu yang dinyanyikan artis juga perlu mengikut isi kandungan yang sopan dan tidak membawa mesej-mesej yang ekstrem.
Selain itu, Wafiq menegaskan, institusi pengajian tinggi sebagai satu institusi ilmu sepatutnya memperbanyakkan program-program berbentuk ilmiah dan intelektual yang boleh mendatangkan lebih banyak manfaat kepada pelajar.
“Antara program yang boleh dianjurkan ialah membincangkan isu nasional terkini dan menjemput tokoh-tokoh intelektual untuk memberi lebih banyak manfaat kepada pelajar berbanding penganjuran konsert.”
Terdahulu, dilaporkan, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan membincangkan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhubung kelonggaran IPT mengadakan konsert ‘kecil dan terkawal’ dalam kampus.