Tempatan

Lesen GDL Bakal Jadi Syarat Wajib Kepada Penunggang p-Hailing

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 09 Ogos 2022 – Penunggang perkhidmatan p-Hailing bakal diwajibkan memiliki lesen memandu vokasional (GDL) selepas Rang Undang-Undang (RUU) pindaan terhadap tiga peruntukan undang-undang pengangkutan jalan yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang diluluskan, menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Tambah beliau, melalui pindaan undang-undang Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715], syarat wajib baharu kepada penunggang perkhidmatan p-Hailing adalah mempunyai lesen GDL.

Beliau turut menjelaskan bahawa pengurusan pengambilan lesen GDL sama ada diuruskan oleh penunggang perkhidmatan p-Hailing sendiri atau pengendali, ia akan diperincikan selepas ini oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong juga memaklumkan, Kerajaan juga akan memperbaharui had usia penunggang perkhidmatan p-Hailing daripada tidak kurang 21 tahun kepada tidak kurang 18 tahun.

“Pindaan had usia ini akan membolehkan Keluarga Malaysia bekerja sebagai seorang penunggang motosikal p-Hailing apabila mempunyai Lesen Memandu Kompeten dalam kelas motosikal dan seterusnya mendapatkan GDL bagi tujuan itu.”

Ketetapan baharu ini seterusnya akan membuka peluang kepada lebih ramai individu menyertai sektor ekonomi gig untuk menjana pendapatan menerusi perkhidmatan p-Hailing dan lain-lain platform perkhidmatan penghantaran, ujar beliau.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong juga memaklumkan, penurunan had usia itu dibuat selepas melihat demografi di Malaysia selain penghantaran makanan kini menjadi punca rezeki yang penting termasuk remaja yang sudah tidak lagi bersekolah pada usia 18 tahun.

Selain itu, penambahbaikan tersebut juga bagi mengekang mana-mana pihak yang tidak mempunyai lesen yang ditetapkan daripada beroperasi tanpa memahami peraturan dan pematuhan undang-undang yang mengawal selia perkhidmatan berkenaan.

Justeru, ketiga-tiga Rang Undang-Undang bagi meminda akta terbabit akan dibentangkan untuk perbahasan dan kelulusan Parlimen dalam sesi akan datang, kata Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Leave a Reply

Back to top button