Tempatan

Lelong Rumah B40 Ketika Pandemik, 5 Negeri Protes

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 05 April 2022 – Beberapa orang rakyat Malaysia di lima buah negeri mengadakan protes serentak di hadapan premis perbankan sebagai bantahan kepada tindakan sebuah bank melelong rumah seorang rakyat yang tergolong dalam kategori B40 baru-baru ini.

Protes aman itu telah diadakan secara serentak di hadapan cawangan-cawangan premis bank tersebut di Ipoh, Kuala Lumpur, Seremban, Georgetown dan Johor Baharu.

Menurut Parti Sosialis Malaysia (PSM), mantan pemilik rumah itu telah mengambil pinjaman perumahan sebanyak RM73,700 dan membeli insuran MRTA (Mortgage Reducing Term Assurance) bersama mendiang suaminya pada tahun 2001.

Mereka dikatakan telah membuat pembayaran mengikut jadual sehinggalah pada lewat tahun 2019 kerana mendiang suaminya kehilangan kerja setelah mengalami penyakit strok menyebabkan bayaran hutang bank tertunggak sebanyak 3 bulan ketika itu.

Si isteri membuat permohonan kepada pihak bank untuk membuat sebahagian pembayaran pinjaman menerusi MRTA namun pihak bank didakwa berkata dokumen berkaitan MRTA pinjaman mereka tidak dapat dijumpai dalam sistem.

Pada bulan September 2020, pihak peminjam itu telah menerima sepucuk surat notis lelong rumah itu sedangkan baki pinjaman mereka hanyalah berjumlah RM2,567.

Pegawai bank tersebut dikatakan telah berjanji untuk membantu mereka membuat rayuan permohonan kepada pihak ibu pejabat bank namun tiada maklum balas daripada ibu pejabat bank itu.

Pihak peminjam pula meneruskan pembayaran sehingga biasa sehinggalah suaminya meninggal dunia pada Februari 2021. Beberapa hari selepas kematian suami, isterinya pergi ke bank tersebut untuk memaklumkan pihak bank tentang kematian suaminya.

Pihak bank tersebut kemudian memaklumkan bahawa beliau tidak perlu membayar lagi pinjaman perumahan itu kerana semua hutang sudah langsai dibayar, menurut beliau lagi.

Pada malam hari yang sama, pihak bank tersebut dikatakan telah menghubungi isteri tersebut untuk memaklumkan bahawa beliau perlu keluar dari rumahnya itu kerana rumahnya sudah pun dilelong.

Menurutnya, rumahnya itu telah pun dijual secara lelong pada bulan Oktober 2020 dengan harga RM140,000 oleh pihak bank tanpa pengetahuan beliau dan suaminya.

Para aktivis membuat protes menuntut keadilan itu kerana menurut mereka, pihak bank “terus menjalankan proses lelong hanya kerana peminjam gagal membuat pembayaran 3 bulan atas sebab menghidapi penyakit serius” dan “telah menjalankan proses lelong rumah pada ketika pandemik COVID-19 di mana semua orang mengalami kesusahan”.

Menurut mereka lagi, pihak bank juga “gagal untuk memohon MRTA selepas diberitahu ketidakupayaan Chitarthan” dan telah “memberi nasihat yang salah semasa Tamil Selvi membawa surat Pengumuman Jualan” di cawangan bank tersebut.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: