Lelaki Singapura, Obses Busana Dan Tekstil Melayu
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SINGAPURA, 08 September 2022 – Seorang penaung yang juga pengumpul hasil seni Melayu, John Ang telah mengumpul sebanyak 5,000 helai tekstil Melayu dan 700 daripadanya digunakan untuk Pameran Kemegahan Tekstil Alam Melayu yang sedang berlangsung sehingga 30 Oktober ini.
Menerusi kisahnya yang dikongsikan oleh The Rakyat Post, beliau telah mula mengumpul tekstil Melayu sejak 2014.
John yang mempunyai Ijazah dan Sarjana dalam bidang Sejarah Seni Asia di Universiti Michigan telah berpindah ke Malaysia pada tahun 2018 dan memperuntukkan masanya mengkaji tekstil Melayu.
Kini, beliau telah mengumpul lebih daripada 13 Tengkarung iaitu satu tekstil Limar Bersongket di mana coraknya ditenun di atas kain Limar.
Dalam pameran itu, beliau membahagikann 700 koleksinya kepada 12 kategori yang terdiri daripada Songket, Limar, Telepok, Pelangi, Ikat Loseng, Tenunan, Linangkit, Cetakan, Batik, Renda dan Anyaman.
“Kebanyakan koleksi tekstil Melayu adalah serantau, manakala koleksi saya adalah rentas wilayah. Saya mempunyai tekstil dari Filipina, Kemboja, Vietnam, Parsi dan juga England yang sebenarnya, Melayu. Hal ini kerana pasaran Alam Melayu sangat kukuh suatu ketika dahulu.”
“Anda lihat, Alam Melayu sebenarnya adalah laut (perdagangan maritim) dan bandar Pelabuhan adalah pinggiran. Mereka berhubung melalui laut dan disebabkan itu, mereka menjadi serupa. Budaya Melayu ada di mana-mana,” kata John.
Berikutan itu, beliau berharap agar koleksinya mendapat tempat di Malaysia suatu hari nanti. Beliau turut berazam untuk menurunkan legasinya kepada pelapis di negara ini agar koleksi tekstil Melayu ini dapat dilindungi untuk dilihat oleh generasi akan datang.