Antarabangsa

Lelaki Britain Pertama Implan Mikrocip & Kad Bank Dalam Tangan

LONDON, 26 Oktober 2022 – Demi menunaikan hasrat yang ingin membuat pembayaran menggunakan tangan, seorang lelaki menjadi individu pertama di Britain membuat implan mikrocip beserta kad bank di dalam tangannya, lapor sebuah agensi media.

Arnie Szoke, 40, yang bekerja sebagai pembantu kesihatan bersama agensi Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) mengeluarkan sebanyak £350 (RM1,877) bagi membiayai kos implan tersebut di Jerman.

“Cara menggunakan cip itu memerlukan sedikit pembelajaran. Ia seperti kad biasa tetapi anda perlu lebih tepat dengan kawasan yang perlu disentuh.”

“Ini bermakna saya tidak perlu membawa dompet sepanjang masa. Kali terkahir saya menggunakan wang tunai, sebanyak £40 (RM214) telah hilang bersama pas kerja saya,” jelasnya yang turut berkongsi pengalaman di mana juruwang dan pelanggan lain di kedai terkejut melihat cara beliau membuat pembayaran.

Mikrocip tersebut menggunakan teknologi kad tanpa sentuh dengan medan magnet yang memindahkan data kepada alat pengesan. Manakala, cip yang berharga £220 (RM1,179) itu pula dibina oleh syarikat British-Poland, Walletmor dan akan tamat tempoh sama seperti kad bank biasa. Maka, Arnie Szoke perlu menggantinya dalam operasi kedua dengan kos £130 (RM696) pada 2029.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: