Tempatan

Lelaki Besut Ditangkap, Cuba Seludup 10 PATI

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

BESUT, 24 Ogos 2022 – Kegiatan seorang lelaki berusia 34 tahun yang cuba menyeludup masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terbongkar selepas kereta Perodua Alza yang dipandunya terlibat dalam kemalangan di Jalan Tok Dor, pagi semalam.

Sewaktu kejadian, suspek tersebut sedang menyeludup sepuluh orang PATI lelaki untuk dibawa dari Chiku di Gua Musang, Kelantan ke Gambang, Pahang.

Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad, “Suspek dikatakan terlelap semasa memandu menyebabkan keretanya terlanggar belakang sebuah Proton Persona di hadapannya. Kereta Persona itu kemudiannya hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah Proton Wira dari arah bertentangan.”

Susulan kejadian, suspek dan seorang PATI yang mengalami kecederaan ditahan polis dan dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.

Manakala, sembilan lagi warga Myanmar dalam kenderaan itu melarikan diri selepas kemalangan itu.

Walau bagaimanapun, tiga daripada PATI yang melarikan itu berjaya diberkas oleh orang awam dan polis masih memburu baki lima lagi rakan mereka yang masih bebas.

Tambah Abdul Rozak, hasil soal siasat mendapati suspek dibayar upah seorang lelaki dikenali dengan nama Pak Do yang merupakan warga negara Thailand sebanyak RM1,200 untuk menyeludup 10 orang PATI tersebut.

Pemeriksaan ke atas pemilikan kenderaan tersebut pula mendapati Perodua Alza tersebut telah didaftarkan atas nama seorang lelaki dari Keningau, Sabah.

Jelas Abdul Rozak, kenderaan itu telah dibawa ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Besut untuk siasatan lanjut.

Ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap suspek juga mendapati dia positif Methamphetamine. Hasil semakan polis juga mendapati suspek mempunyai dua kesalahan lampau membabitkan kesalahan dadah.

“Polis turut merampas dua telefon bimbit dan empat biji pil kuda daripada suspek dan empat telefon bimbit milik empat warga Myanmar tersebut.”

“Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: