Tempatan

Agong & Raja Permaisuri Zahir Ucapan Tahniah Buat Pasukan Hoki Kebangsaan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 11 November 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Pasukan Hoki Kebangsaan atas kejayaan melakar sejarah buat kali pertama menjulang Piala Sultan Azlan Shah 2022, semalam.

Menurut kenyataan rasmi Datuk Pengelola Bijaya Diraja Dato’ Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan kesyukuran dan rasa sukacita atas kejayaan yang telah dicapai oleh Pasukan Hoki Kebangsaan itu, yang sekali gus menamatkan penantian 39 tahun Malaysia sebagai tuan rumah untuk muncul juara kejohanan tersebut.

Seri Paduka Baginda berdua juga menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada barisan pengurusan Konfederasi Hoki Malaysia, di bawah pimpinan Presiden Dato’ Sri Subahan bin Kamal dan Pasukan Hoki Kebangsaan di bawah kendalian Pengurus Pasukan Dato’ Mirnawan bin Nawawi dan Ketua Jurulatih A. Arulselvaraj, serta mereka di sebalik tabir yang telah memberi sumbangan kepada kejayaan itu.

Selain itu, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa bangga dengan kerja berpasukan, semangat perjuangan tinggi dan beraksi sepenuh jiwa yang telah dipamerkan oleh Pasukan Hoki Kebangsaan di perlawanan akhir edisi ke-29 kejohanan berprestij tersebut sehingga berjaya menumbangkan juara bertahan, Korea Selatan.

Justeru, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar kejayaan itu akan menjadi penyuntik semangat kepada Pasukan Hoki Kebangsaan untuk terus berlatih dan berkerja lebih keras dalam persediaan menghadapi Kejohanan Piala Dunia Konfederasi Hoki Antarabangsa tahun depan.

Tidak dilupakan, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan penghargaan kepada para penyokong yang hadir memberi sokongan padu kepada Pasukan Hoki Kebangsaan di perlawanan akhir kejohanan tersebut yang berakhir dengan kemenangan bermakna dan lakaran sejarah buat negara.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: