Lebih 8 Ribu Calon Duduki SPM Ulangan, Selasa Ini
PUTRAJAYA, 19 Ogos 2024 – Seramai 8,195 orang calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) Tahun 2024 di 187 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan, mereka akan menduduki peperiksaan itu pada 20, 21 dan 22 Ogos ini melibatkan tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.
Katanya, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan, seramai 1,329 petugas peperiksaan dilantik untuk Ujian Bertulis dan Ujian Mendengar Bahasa Melayu.
“Seramai 1,189 petugas peperiksaan pula untuk Ujian Bertutur Bahasa Melayu.”
“KPM mengingatkan semua calon peperiksaan SPMU Tahun 2024 untuk merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.”
KPM berkata, jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan melalui pautan lp.moe.gov.my.
Katanya, calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Penyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
“Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan boleh dimuat turun dari Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian melalui pautan sppat.moe.gov.my,” katanya.
Pada masa sama, KPM mengingatkan calon mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPMU Tahun 2024.
KPM turut mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera.