Lebih 7,000 Anak Pokok Sudah Ditanam Di Tasik Chini – Jabatan Perhutanan Pahang
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PAHANG, 09 Julai 2022 – Sebanyak 7,281 pokok hutan dan buluh pelbagai spesis ditanam di Tasik Chini dan sekitarnya sejak 2017 sehingga kini, menurut Penolong Pengarah Kanan Jabatan Perhutanan Pahang (JPNP) Nurfazliza Kamarulbahrin.
Antara spesis tanaman termasuk merbau, keruing, merawan siput jantan, meranti temak nipis, batai and balau serta terdapat juga tanaman litup untuk memulihkan kawasan yang rosak akibat perlombongan dan kegiatan pembalakan itu.
Nurfazliza Kamarulbahrin turut memberitahu bahawa aktiviti penanaman semula itu akan berterusan sehingga semua kawasan terjejas kembali kepada keadaan asal yang dijangkakan mengambil masa 15 hingga 20 tahun.
Jabatan Perhutanan Pahang telah mengenalpasti sekitar 200 hektar tanah sebagai hutan rosot untuk penanaman semula dan menyasarkan sebanyak 100,000 pokok untuk ditanam dalam usaha melibatkan penduduk tempatan, kumpulan alam sekitar dan agensi-agensi Kerajaan.
Sebelum ini, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru semua pihak sentiasa mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan urus takbir yang baik supaya khazanah alam hari ini akan terus kekal dan dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
“Tasik Chini merupakan permata alam sekitar di bumi Negeri Pahang Darul Makmur dan merupakan Tanah Rizab Biosfera Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang pertama di negara ini.”
“Justeru pengiktirafan bertaraf dunia itu hendaklah dipertahankan.”