Lebih 263 Juta Orang Bakal Miskin Melampau Tahun Ini – Oxfam
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
OXFORD, 15 April 2022 – Lebih dari suku bilion orang di seluruh dunia bakal menjadi miskin melampau pada tahun ini.
Demikian laporan Oxfam, sebuah gerakan global yang berjuang menamatkan kemiskinan menerusi kenyataan media mereka Selasa lalu.
BACA: Malaysia Mungkin Akan Senasib Ukraine – Anifah Aman
BACA: Rusia Bakal Serang Ukraine; Seluruh Dunia Cabut Lari Kecuali Rakyat Malaysia
BACA: Dunia Bakal Kebuluran Harga Barang Melambung
Krisis ini berlaku akibat daripada peningkatan harga makanan global selepas berlaku perang Rusia-Ukraine, kesan berterusan wabak COVID-19 serta peningkatan ketidaksamaan global.
Kemajuan yang dibangunkan selama dua dekad ini berada dalam bahaya apabila berlaku konflik perang Rusia-Ukraine yang menyebabkan kenaikan harga di pasaran borong, mengganggu hasil tuaian serta menghalang eksport komoditi penting.
Pihak Oxfam juga menganggarkan bahawa kenaikan harga makanan global sahaja akan mendorong lebih 65 juta orang ke dalam kemiskinan melampau, sekaligus menjadikan jumlah mangsa kemiskinan melampau sebanyak 263 juta orang tahun ini.
Kemungkinan jumlah ini akan meningkat kepada 860 juta orang menjelang akhir tahun dan perbelanjaan harian mungkin akan berkurang kepada $1.46 bersamaan RM6.17 sehari.
Menurut Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti yang dilaporkan The Guardian, perang di Eropah telah meningkatkan harga makanan global hingga mencapai paras tertinggi setakat ini. Kenaikan yang melambung itu juga dikatakan akan memberi kesan paling buruk kepada golongan miskin.
“Pelbagai krisis global telah menyebabkan kesengsaraan kepada berjuta-juta orang. Pemberian bantuan kepada setiap krisis tidak mencukupi; negara berpendapatan rendah perlu membatalkan hutang untuk melabur dalam jaringan keselamatan sosial. Cukai progresif yang dikenakan ke atas golongan kaya diperlukan bagi melindungi mereka yang terkesan,” jelas Katy Chakrabortty, Ketua Dasar dan Advokasi Oxfam.
Hasil usaha berkenaan boleh mengeluarkan 2.3 bilion orang daripada kemiskinan, mencipta vaksin yang cukup untuk seluruh dunia dan menyediakan penjagaan kesihatan sejagat serta perlindungan sosial kepada penduduk negara berpendapatan sederhana rendah dan rendah.