Tempatan

Lebih 100,000 IP Malaysia Dikesan Terlibat Porno Kanak-Kanak

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 05 September 2022 – Sebanyak 106,764 alamat protokol internet (IP) berdaftar Malaysia telah dikenal pasti terlibat dalam pornografi kanak-kanak sejak enam tahun lepas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun turut mendedahkan kajian yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di mana ibu bapa semakin kurang mengawal penggunaan internet anak-anak mereka.

Berdasarkan Tinjauan Pendapat Bulan Keluarga Kebangsaan 2020, kawalan ibu bapa terhadap penggunaan internet anak-anak menurun daripada 62.5 peratus pada tahun 2018 kepada 53.3 peratus pada tahun 2020.

“Jadi ibu bapa, janganlah kita terlalu leka dan lalai dan ambil inisiatif untuk lebih peka dengan apa yang anak kita terdedah.”

“Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan aplikasi Litmatch yang disalah guna oleh individu tidak bermoral yang menggunakannya sebagai akses untuk mendekati kanak-kanak dan menjemput mereka untuk terlibat dalam komunikasi lucah atau sexual grooming,” ujarnya sewaktu pelancaran kempen menentang jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak yang dianjurkan di IOI City Mall, semalam.

Berikutan itu, beliau menggesa para ibu bapa untuk memantau penggunaan internet anak-anak mereka bagi mengelakkan mereka dari menjadi mangsa aktiviti tidak bermoral ini.

Beliau berharap, dengan penganjuran kempen itu dapat membantu kanak-kanak untuk menimba ilmu dalam mengharungi alam siber ini.

“Tiada ruang untuk mereka melarikan diri. Dengan maklumat ini kami akan terus menyiasat sehingga kami mengenal pasti dan menangkap pesalah dalam talian ini,” kata Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan agar jenayah seperti pornografi kanak-kanak, siber seksual, buli siber dan pemerdagangan manusia dibanteras dengan agresif.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: