Tempatan

Lebih 10 Ribu Dijangka Sambut Kepulangan Agong Ke Pahang

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

TEMERLOH, 25 Januari 2024 – Seramai lebih 10,000 rakyat negeri ini dijangka membanjiri sepanjang jalan pada acara Perarakan Diraja sempena keberangkatan balik KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Selasa depan.

Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri juga telah melakukan persediaan rapi bagi memastikan sambutan yang terbaik dilakukan bagi menyambut keberangkatan balik Seri Paduka Baginda berdua.

“Kita membuat persiapan yang begitu rapi dan beberapa kali perbincangan dan mesyuarat telah dilakukan dan kita akan buat sambutan yang terbaik. Sebab rakyat Negeri Pahang sangat merindui Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Agong ke Negeri Pahang,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Alat Tulis Kepada Pelajar SPM 2023 Sumbangan YAB. Menteri Besar Pahang Anjuran Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) di SMK Lanchang, semalam.

Jelasnya, banyak aktiviti kemasyarakatan turut dirancang pada keberangkatan pulang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda berdua.

“Banyak program-program yang kita adakan daripada acara sambutan seperti Karnival Rakyat, tahlil, dan insha-Allah Tuanku akan pergi ke daerah-daerah di Negeri Pahang,” katanya.

Keberangkatan pulang Seri Paduka Baginda berdua pada 30 Januari ini bermula di sepanjang laluan dari Pangkalan Udara TUDM Kuantan ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

Seri Paduka Baginda berdua dijangka berangkat tiba di Pangkalan Udara TUDM Kuantan pada 11 pagi dan dijangka tiba di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah kira-kira 1 petang.

Perarakan akan diserikan lagi dengan penyertaan kereta kuda Diraja yang akan membawa Seri Paduka Baginda berdua daripada Kompleks Teruntum hingga ke Pejabat Pos, Kuantan.

Kemudiannya, pasangan Diraja akan disambut oleh pasukan hulubalang dan gajah di persimpangan Taman Gelora untuk diarak ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah bagi santapan beradat dan jamuan tengah hari sempena sambutan keberangkatan balik Tuanku berdua.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: