Lebih 1 Juta Kanak-Kanak Malaysia Mengalami Masalah Kesihatan Mental
KUALA LUMPUR, 10 Jun 2024 – Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 baru-baru ini melaporkan, kira-kira satu daripada enam kanak-kanak berusia lima hingga 15 tahun dianggarkan mengalami masalah kesihatan mental di negara ini.
Menurut tinjauan tersebut, beban masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak kini meningkat dua kali ganda sejak 2019.
Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dr. Bustam Kamri tidak menolak kemungkinan ketagihan gajet menjadi antara punca kanak-kanak kumpulan itu berhadapan dengan masalah kesihatan mental.
Katanya, sikap ibu bapa yang membekalkan gajet kepada kanak-kanak menyebabkan mereka berasa tertekan, beremosi dan tidak berkomunikasi.
“Menggunakan gajet (pada peringkat awal) itu sudah memberi tekanan kepada kanak-kanak, dan kurangnya komunikasi sudah berlaku.”
“Apabila mereka menggunakan gajet secara tidak terkawal menyebabkan mereka terasing, jadi bagaimana mahu meluah perasaan sebab hanya berkomunikasi dengan dunia sendiri.”
Antara faktor masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak adalah masalah dengan rakan sebaya (46 peratus), tingkah laku (25 peratus), emosi (17 peratus) dan hiperaktif (8 peratus).
Mereka yang mempunyai masalah dengan rakan sebaya itu sukar bergaul dengan kanak-kanak lain; tiada kawan rapat; dibuli oleh kanak-kanak lain; tidak disukai oleh kanak-kanak lain dan lebih selesa bergaul dengan orang dewasa.
Kanak-kanak mengalami masalah tingkah laku pula dikesan selalu mengalami tantrum; selalu tidak mematuhi arahan; selalu berbohong atau menipu; selalu mempunyai tabiat mencuri dan selalu bergaduh dengan kanak-kanak lain.
Masalah emosi pula menyebabkan kanak-kanak itu selalu mengadu sakit kepala; cenderung berasa terlampau bimbang; selalu berasa tidak gembira; selalu berasa gementar dan cenderung berasa takut.
Kanak-kanak mempunyai masalah hiperaktif selalu berasa gelisah; bergerak dengan resah; perhatian mudah terganggu; kurang tumpuan dan tergesa-gesa menurut kata hati (impulsive).
“Saya lihat hari ini masalah kesihatan mental kanak-kanak harus dilihat dan dikaji secara bersama oleh masyarakat. Ini kerana kita tiada tempat khas untuk rawat, pulihkan mereka,” kata beliau.
Dr. Bustam berkata, masalah kesihatan mental yang membelenggu kanak-kanak dikhuatiri melahirkan generasi delinkuen atau protes.