Tempatan

Lawan Tetap Lawan, Tuanku: Pihak Pendakwaan Serah Dokumen Iswardy Morni Kepada Pembelaan – Mohamad Shahrizzat Amadan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 02 Ogos 2021 – Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan memaklumkan, pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen kepada pembelaan berkaitan kes Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni yang didakwa atas pertuduhan kenyataan berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Mei lalu.

“Pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan pada pagi ini. Jika diizinkan pohon satu lagi tarikh pengurusan kes selanjutnya,” kata beliau.

Sebutan kes disebut di hadapan Hakim M.M Edwin Paramjothy di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Dalam prosiding itu, peguam Shahrulazwad Ismail yang mewakili tertuduh mengesahkan telah menerima dokumen-dokumen berkaitan kes tersebut.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Oktober ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

Iswardy ditahan pada 30 Mei 2021 setelah membuat ulasan secara langsung di akaun YouTube miliknya bertajuk “Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun Ini?”

Dalam ulasannya, Iswardy bukan sahaja menggunakan bahasa biadab terhadap KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong (YDPA) tetapi juga mendakwa Seri Paduka Baginda tidak berbuat apa-apa untuk menangani penularan wabak pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara serta melaung perkataan “lawan tetap lawan, Tuanku”.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Namun, pada 1 Jun lalu, Iswardy mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Mahkamah kemudian membenarkannya diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan dilarang membuat sebarang ulasan mengenai kes itu.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: