#Lawan: Marina Mahathir Seru Ibu Bapa Sokong Anak Sertai Protes
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 02 Ogos 2021 – Aktivis Sisters In Islam (SIS), Marina Mahathir menyeru para ibu bapa supaya menyokong anak mereka menyertai himpunan protes ‘Keluar dan #Lawan’ sewaktu negara sedang menderita jangkitan wabak Covid-19.
Jumlah jangkitan dan kematian saban hari akibat jangkitan wabak ini menakutkan jutaan rakyat Malaysia termasuk ibu bapa para pemuda dan pemudi yang berhasrat menyertai demonstrasi jalanan tersebut.
Pujuk Marina Mahathir di laman Twitternya, “Wahai ibu bapa aktivis #Lawan, saya tahu kamu risaukan keselamatan mereka. Tetapi mereka lakukan semua ini untuk kita semua.
“Kita semua patut sokong keberanian mereka. Jangan risau, kamu bukan keseorangan. Kita semua bangkit bersolidari bersama mereka.”
Perhimpunan kumpulan bendera hitam yang disokong oleh Marina Mahathir itu telah disertai lebih kurang 400 orang muda mudi yang melaungkan beberapa slogan mengecam kerajaan, sebahagian daripada mereka bertindak lebih liar dengan menunjukkan isyarat lucah kepada pasukan polis dan pihak media.
Mereka telah mendedahkan diri dan masyarakat sekeliling dengan ancaman jangkitan wabak Covid-19 setelah melanggar larangan menyertai perhimpunan, dan gagal mematuhi penjarakan fizikal ketika berkumpul dalam demonstrasi.
Walau bagaimanapun, ini tidak menghalang Marina Mahathir yang terkenal sebagai seorang aktivis yang ulung, untuk menyeru ibu bapa untuk menggalakkan anak mereka menyertai protes jalan tersebut.