Antarabangsa

Lari Dari Tahanan Rumah, ‘Fat Leonard’ Taikun Asal Penang Diburu Polis Amerika

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SAN DIEGO, 07 September 2022 – ‘Fat Leonard’, atau nama sebenarnya Leonard Glenn Francis, merupakan seorang bekas ahli perniagaan Malaysia yang disabitkan bersalah dalam salah satu skim rasuah terbesar Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), melarikan diri dari tahanan dalam rumah.

Polis San Diego yang diminta mengunjungi Francis di rumah, menyedari dia tiada di sana dan gelang pemantauan GPS yang dipakai kepadanya telah dipotong.

Pada 2018, Francis dibebaskan dari penjara untuk menjalani tahanan dalam rumah akibat beberapa masalah kesihatan, termasuk kanser buah pinggang dan berada di bawah pengawasan Pretrial Services, agensi persekutuan AS yang memantau defendan yang dibebaskan daripada tahanan sehingga dijatuhi hukuman.

Francis, yang mengendalikan syarikat kontrak tentera, Glenn Defense Marine Asia, dari Singapura ditahan di San Diego pada 2013 dalam sebuah operasi persekutuan selepas didapati bersalah merasuah pegawai Tentera Laut AS untuk mempergunakan pengaruh dan akses mereka kepada risikan ketenteraan sehingga membolehkannya meraih jutaan dolar daripada kontrak tentera laut itu.

Sebelum menjalani tahanan dalam rumah, dia yang mengaku bersalah pada 2015, termasuk menipu tentera laut sekurang-kurangnya USD35 juta dengan mengenakan bayaran berlebihan telah dipenjarakan.

Walau bagaimanpun, hukuman Francis ditangguhkan selama bertahun-tahun kerana dia membantu dan bekerjasama dengan pendakwa raya persekutuan dan bersedia memberi keterangan dalam perbicaraan awal tahun ini terhadap lima bekas pegawai tentera laut.

Empat pegawai tersebut telah disabitkan bersalah dan seramai 29 individu lain, termasuk pegawai Tentera Laut AS, kontraktor pertahanan, Francis dan syarikatnya, mengaku bersalah.

Hukuman ke atas anak kelahiran Pulau Pinang itu dijangka diumumkan pada 22 September ini.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: