Tempatan

Larangan Jual Rokok Beri Kesan Pada Perniagaan Makanan – PRIMAS

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 30 Julai 2022 – Keputusan larangan penjualan tembakau dan produk rokok akan memberi kesan kepada perniagaan makanan di seluruh negara, kata Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS), J. Suresh.

Beliau dalam kenyataannya merayu agar pihak Kerajaan menilai semula keputusan drastik tersebut berikutan ia mampu mendatangkan kemudaratan berbanding kebaikan kepada pengguna serta perniagaan yang sah.

Bahkan, katanya tindakan itu akan menyebabkan ahli-ahli PRIMAS kehilangan pendapatan mereka serta mengganggu operasi perniagaan.

Bukan itu sahaja, undang-undang sedemikian juga akan mengakibatkan peningkatan dalam kos operasi selain menimbulkan lagi kerumitan tambahan yang sekali gus memburukkan lagi keadaan.

“Kami tidak menggalakkan merokok, tetapi polisi ini memberi cabaran kepada kami. Kami diminta untuk melakukan pemeriksaan sama ada seseorang itu lahir selepas 2007 melalui MyKad pada masa akan datang, yang akan menambah kerumitan kepada perniagaan kami,” ujarnya.

Tambah beliau, pelaksanaan larangan merokok kepada generasi akan datang itu bakal memberi kesan yang mahal kepada persatuan di mana peruncit boleh didenda sehingga RM30,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali jika undang-undang tidak dipatuhi.

“Adakah Kerajaan yakin bahawa kaedah tambahan ini dapat menghentikan orang ramai daripada merokok, ataupun ia hanyalah satu lagi undang-undang yang tidak akan dikuatkuasakan dengan baik ataupun menambah kekeliruan kepada semua pihak?”

Beliau turut berpendapat di mana pihak Kerajaan seharusnya memberi tumpuan kepada perdagangan rokok seludup terlebih dahulu sekiranya tabiat merokok ingin dihentikan.

Berkata lanjut, negara telah kehilangan RM5 bilion pendapatan cukai setiap tahun berikutan dari pemerdagangan tersebut yang memudaratkan perokok kerana kandungannya yang tidak terkawal.

“Kerajaan Malaysia perlu mengambil kira kesemua perkara ini sebelum membuat apa-apa keputusan. Bukan semua polisi akan berkesan dan ini bukanlah masanya untuk memberi risiko kepada industri makanan dan minuman,” jelasnya.

Leave a Reply

Back to top button