Larangan JAIS Tegah Umat Islam Ziarah Rumah Ibadat Lain, Dibantah MUDA
KUALA LUMPUR, 17 Mac 2023 – MUDA menyuarakan bantahan berhubung larangan program melibatkan umat Islam di rumah ibadah agama lain.
Menurut Presiden MUDA yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahmah, beliau tidak bersetuju dengan peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu.
Kata beliau, seharusnya usaha mahupun program bagi menyemarakkan lagi keharmonian dan kesefahaman antara rakyat disambut baik oleh semua pihak di semua peringkat kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang dihuni oleh masyarakat yang majmuk, berbilang bangsa dan juga agama.
BACA JUGA: SPRM Siasat Lima Bank Utama Jadi Transit Wang Haram
BACA JUGA: Pengarah & Pelakon ‘Mentega Terbang’ Terima Ugutan Bunuh, Polis Sedang Siasat
BACA JUGA: Kerajaan Mula Guna Getah Tempatan Untuk Turap Jalan
Tambahnya, ahli MUDA selama ini tidak pernah mempunyai isu untuk bekerjasama dalam program kemasyarakatan yang dianjurkan biarpun terdiri daripada pelbagai latar belakang.
“Ahli MUDA tidak kira apa agama atau bangsa sama-sama membersihkan masjid, tokong, kuil, gereja, gurdwara dan lain-lain tempat ibadah ketika kerja-kerja pembersihan banjir.
“Saya yakin untuk yang beragama Islam, iman mereka sedikit pun tidak terjejas sehingga hendak menukar agama,” jelasnya.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut mengatakan bahawa beliau telah banyak kali melawat rumah ibadah penganut agama lain namun tiada sebarang bentuk agenda bagi menjejaskan agama Islam dilihat olehnya.
Kenyataan beliau ini adalah bagi mengulas kepada kenyataan Exco Selangor, Zawawi Ahmad Mughni kelmarin yang menyatakan bahawa sebarang program melibatkan umat Islam di Rumah Ibadah Agama lain selain dari Rumah Ibadah Islam adalah dilarang sama sekali.
Dalam kenyataannya juga turut menyeru lebih 100,000 ahli MUDA untuk mengunjungi mana-mana rumah ibadah.
“Malaysia teguh kerana perpaduan dan dengan perpaduan ini datangnya kemakmuran,” katanya lagi.