Larangan Berhijab Wujudkan Jurang Sosial Dalam Kalangan Pelajar di India
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
NEW DELHI, 15 September 2022 – Larangan berhijab yang dikeluarkan oleh Kerajaan Karnataka mewujudkan jurang sosial yang luas dalam kalangan pelajar sekali gus mengakibatkan pengasingan sosial serta ketakutan dalam kalangan pelajar Islam, menurut kajian yang diterbitkan oleh Kesatuan Rakyat Untuk Kebebasan Awam (PUCL).
Kajian itu mendedahkan, larangan itu telah mengakibatkan sebilangan pelajar yang berhijab untuk berpindah ke institusi lain yang ditadbir oleh Muslim. Perkara itu seterusnya mengehadkan interaksi mereka bersama pelajar dari komuniti lain. Larangan itu juga menyebabkan pelajar berasa terasing dan mengalami kemurungan.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Karnataka memutuskan bahawa pemakaian hijab oleh wanita Islam bukanlah sebahagian daripada amalan agama yang penting dalam agama Islam bahkan ia tidak dilindungi di bawah hak kebebasan beragama yang dijamin di bawah Perkara 25 Perlembagaan India.
Ulas kajian PUCL itu, keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi tersebut telah menafikan hak wanita untuk memakai tudung sebagai pilihan mereka sendiri.
Tambahan lagi, terdapat ramai wanita yang tanpa mengira agama memilih untuk menutup kepala mereka kerana ia membuatkan mereka berasa selamat. Malahan, hijab merupakan pilihan peribadi untuk sesetengah wanita Muslim, ulas kajian itu lagi.
Kajian itu turut menjelaskan bahawa ramai pakar yang sedar akan kegagalan Mahkamah Tinggi dalam melindungi hak asasi pendidikan yang dijamin oleh kerajaan tanpa sebarang diskriminasi. Disebabkan keputusan oleh Mahkamah Tinggi itu, terdapat sebilangan pelajar wanita yang tidak dapat hadir mengambil peperiksaan hanya kerana memakai hijab.
Bukan itu sahaja, pelajar Islam ini juga diganggu serta dihina secara berterusan biarpun di dalam mahupun di luar bilik darjah bahkan pihak pentadbiran kolej turut menunjukkan ‘permusuhan’ mereka dengan menahan pengeluaran sijil serta dokumen penting seperti rekod peperiksaan praktikal.
Selain itu, pelajar Islam ini juga berhadapan dengan isu keselamatan di dalam serta luar bilik darjah seperti disisih serta ancaman rogol. Namun, pihak pentadbiran kolej enggan mengambil tahu tentang perkara tersebut, menurut kajian berkenaan.
Perbalahan mengenai pemakaian hijab ini menjadi perhatian pada Februari lalu apabila pihak berkuasa Kolej PU Kerajaan Karnataka di Udupi telah meminta pelajar berhijab untuk duduk di bilik berasingan serta melarang mereka dari mengambil peperiksaan praktikal Sains.