Antarabangsa

Laptop Untuk Banduan, Penjara Pintar Bakal Dibuka

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

LONDON, 18 Ogos 2022 – Sebuah penjara pintar yang menyediakan komputer riba kepada banduan akan dibuka di United Kingdom (UK) pada tahun 2025.

Lapor media tempatan Britain, penjara tersebut adalah berkonsepkan sifar pelepasan karbon dan dijana dengan tenaga solar. Ia juga bakal dilengkapi dengan teknologi pintar terkini bagi mengurangkan jenayah dan melindungi orang ramai.

Teknologi penjara itu merangkumi sistem keselamatan paling maju, reka bentuk serba elektrik dan kawalan keselamatan ketat bagi semua teknologi yang tersedia di dalam sel banduan.

Walaupun sel banduan dilengkapi dengan kemudahan teknologi seperti komputer riba dan tablet, peranti-peranti tersebut tidak boleh digunakan untuk melayari internet.

“Banduan diberikan komputer riba dan tablet untuk mengakses pendidikan serta latihan agar mereka boleh mencari kerja selepas dibebaskan. Langkah ini terbukti dapat mengurangkan kadar jenayah negara,” ujar jurucakap Perkhidmatan Penjara Diraja (Her Majesty’s Prison Service).

Mengulas lanjut, syarikat pembinaan Kier mengatakan bahawa pembangunan penjara itu akan bermula pada musim luruh ini di Full Sutton, East Yorkshire dan merupakan antara penjara Britain yang termahal dibina setakat ini iaitu dengan kos 400 juta pound bersamaan RM2.16 bilion.

Jurucakap badan amal Prisoner’s Education turut mengatakan bahawa penggunaan peranti dalam sel banduan bukan perkara baharu malah sudah diamalkan di kira-kira 10 buah penjara di UK.

Jelasnya, semua peranti dipasang sistem kawalan dan perlindungan yang ketat. Peranti disambungkan pada intranet penjara sekali gus mengehadkan akses internet yang boleh dicapai banduan apabila menggunakan peranti tersebut.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: