Tempatan

Lapor segera jika kesan ajaran meragukan: Mufti Pahang

KUANTAN – Rakyat Pahang diminta segera membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sekiranya mengesan terdapat ajaran meragukan di negeri berkenaan.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, tindakan itu membolehkan penguatkuasaan agama Islam melakukan siasatan.

“Kalau ada amalan dan perkara yang dilihat terpesong daripada landasan agama, mereka (orang ramai) boleh tampil membuat aduan.

“Bila ada aduan, pihak penguat kuasa boleh menjalankan siasatan secara terperinci dan mengesahkan sesuatu ajaran mematuhi syariat atau sebaliknya,” katanya pada sidang akhbar selepas berakhirnya majlis perasmian Pondok Raudatul Iman, Kampung Padang disini pada Ahad.

Hadir sama, Mudir Pondok Raudatul Imam, Fairus Mohamed.

Pada 5 April lalu, seorang pengamal perubatan tradisional ditemukan mati dengan kesan tembakan di badan dalam kejadian di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan perkampungan Bukit Rangin Perdana 2.

Netizen mendakwa mangsa yang berusia 31 tahun didakwa mengamalkan perubatan cara salah sehingga mengundang dendam daripada pelanggan yang pernah mendapatkan rawatan daripadanya.

Mengulas mengenai dakwaan itu, Abdul Rahman berkata, kes itu sedang disiasat polis dan masih belum diputuskan sama ada amalan perubatan terbabit bercanggah atau tidak.

Katanya, disebabkan itu, orang ramai perlu membuat aduan, supaya kejadian seperti ini tidak berulang.

Sementara itu, beliau berkata, Pondok Raudatul Imam adalah sebuah penempatan bagi golongan asnaf dan mualaf yang sudah dibuka sejak dua minggu lalu.

Katanya, namun pondok ini masih belum ada penghuni dan dijadikan tempat untuk kerja-kerja kebajikan termasuk tempat beribadah.

“Kita harap pihak pengurusan pondok ini dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti digariskan kerajaan Pahang,” katanya.

Untuk berita penuh sila klik di sini

Leave a Reply

Back to top button