Laos Mulakan Pemberian Dos Keempat Vaksin COVID-19 April Ini
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
VIENTIANE, 31 Mac 2022 – Kementerian Kesihatan Laos merancang untuk menawarkan dos keempat vaksin COVID-19 bermula April ini, dengan harapan dapat melindungi kumpulan yang terdedah daripada jangkitan varian Omicron.
Pemberian dos keempat vaksin COVID-19 tersebut akan ditawarkan kepada pekerja barisan hadapan, golongan yang mempunyai masalah imun atau penyakit kronik dan penduduk yang berumur 60 tahun ke atas.
Selain itu, vaksin Pfizer dan AstraZeneca yang akan ditawarkan kepada individu yang menerima dos ketiga sekurang-kurangnya tiga bulan lalu itu juga mengambil kira wilayah yang sangat bergantung kepada pelancongan atau wilayah dengan kadar jangkitan yang tinggi terlebih dahulu.
Ini diikuti kumpulan yang bekerja di tempat yang sesak seperti bank, perniagaan berkaitan pelancongan dan kilang serta orang awam, menurut Jabatan Kebersihan dan Promosi Kesihatan Kementerian tersebut.
Sebelum ini, Korea Selatan memaklumkan akan mula memberikan dos keempat vaksin COVID-19 berikutan penularan varian Omicron.
Menurut Menteri Kesihatan Korea, Kwon Ddeok-Cheol, individu dalam kalangan berisiko termasuk mereka yang berada di rumah jagaan dan fasiliti kesihatan serta mereka yang mempunyai imunisasi rendah akan menjadi golongan pertama mendapatkan suntikan keempat dos vaksin COVID-19.