Langgar Etika Pengarahan, FDAM Mahu Pengarah ‘Mentega Terbang’ Mohon Maaf
KUALA LUMPUR, 06 Mac 2023 – Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menuntut permohonan maaf daripada pengarah filem Mentega Terbang, Khairul Anwar ekoran melanggar etika pengarahan filem tersebut.
Menerusi sebuah kenyataan akhbar, Presiden FDAM, Datuk Ahmad Ibrahim menegaskan, “Isu sensitif berkaitan agama bukanlah perkara yang boleh dipermainkan, sama ada melalui lakonan atau perkara lain. Malah, Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi di negara ini dan rakyat Malaysia harus menghormati agama masing-masing.”
Katanya, pihak FDAM memandang serius perkara tersebut dan kecewa dengan kandungan filem Mentega Terbang kerana ia menyentuh sensitiviti masyarakat Islam di Malaysia sekali gus menyebarkan mesej bertentangan dengan akidah Islam.
Tambah Ahmad, FDAM juga berpendapat bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu mengambil tindakan terhadap filem tersebut seperti yang disarankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
BACA JUGA: Fikiran Liberal Cemari Seni Perfileman Negara – Mufti Pulau Pinang
BACA JUGA: Tan Sri Idrus Harun Dilantik Semula Sebagai Peguam Negara
BACA JUGA: Silap PN Sempitkan Muafakat Ummah Hanya Kalangan Parti Politik – Presiden ISMA
Persatuan itu juga merasakan bahawa orang ramai tidak perlu menonton filem itu untuk mengkritik dialognya kerana dialog dan adegan jelas menghina Islam.
“Hanya melalui beberapa adegan seperti dialog antara bapa dan anak perempuan mengenai memilih agama dan dialog memakan daging babi telah menunjukkan mesej yang jelas,” ujarnya.
Lantaran itu, FDAM akan mengenakan tindakan terhadap pengarah filem berkenaan dengan memanggilnya untuk memberi penjelasan berhubung isu kontroversi itu sekali gus menuntut permohonan maaf Khairil kepada penonton dan masyarakat Islam.