Langgar 7 kenderaan, Pemandu Ada Kad Mental
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 18 Februari 2022 – Seorang lelaki yang melanggar tujuh buah kenderaan di beberapa kawasan berasingan di ibu negara baru-baru ini dipercayai mempunyai kad pesakit mental dari PPUM.
“Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai kad rawatan mental dari PPUM. Selain itu, suspek juga didapati tiada lesen dan saman akan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan iaitu rakannya yang meminjamkan kereta berkenaan,” ujar Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superitendan Azman Shari’at.
“Hasil ujian saringan awal air kencing serta alkohol terhadap suspek didapati negatif dan dia dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk tindakan lanjut.”
Kejadian yang berlaku pada jam 3.50 petang itu turut mengakibatkan seorang penghantar makanan yang menaiki motosikal Yamaha LC135 gagal mengawal kenderaan dinaiki lalu terjatuh di atas jalan. Mangsa mengalami kecederaan ringan pada tangan dan badan dan mendapatkan rawatan di klinik swasta.
Suspek berusia 36 tahun itu turut melanggar sebuah Perodua Myvi, Mazda 8 dan Honda Jazz di Jalan Balakong menghala Sri Kembangan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superitendan Zulkafli Chek Lah berkata suspek turut melanggar tiga buah kenderaan lain di Jalan 6/108C, Taman Sungai Besi dan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) sebelum melarikan diri.
“Suspek yang memandu kereta jenis BMW dari arah Kuchai Lama menghala ke Taman Sungai Besi melanggar bahagian belakang kereta Perodua Bezza yang berhenti di lampu isyarat Jalan 6/108C.”
“Suspek kemudian meneruskan perjalanan sehingga ke Lebuhraya Besraya dan melanggar bahagian belakang sebuah motosikal jenis Kawasaki Vulcan yang bergerak di lorong kanan lebuh raya.”
“Suspek turut melanggar bahagian belakang sebuah motosikal jenis Honda RS150R yang bergerak di Lorong tengah,” katanya.
Walau bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan daripada kejadian tersebut. Kes diklasifikasikan bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.