Politik

Lancar Kempen Boikot PAS – Teresa Kok

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, menggesa semua parti terutama MIC dan MCA serta rakyat Malaysia, memboikot parti PAS susulan pengumuman pembatalan cuti umum sempena Thaipusam oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

“Oleh kerana MB dari PAS ini telah menunjukkan penghinaan terhadap festival bukan Muslim dan secara terbuka mendakwa partinya tidak memerlukan undian dari kaum India, inilah masanya untuk pemimpin-pemimpin MIC memberi pengajaran kepada PAS dengan memulakan kempen memboikot PAS seluruh negara sekarang, lantas membuka jalan mendorong lebih ramai lagi rakyat Malaysia yang cintakan keamanan untuk memboikot PAS dalam PRU akan datang.”

Menurut Teresa seperti dalam Facebooknya, MB Kedah seringkali mengeluarkan kenyataan menghina dan melukakan komuniti Hindu sejak memegang tampuk kuasa.

“Setakat ini, hanya pimpinan MIC dan MCA dalam PN sahaja yang membantah kenyataan bersifat perkauman tersebut tetapi ahli-ahli PN yang lain masih membisu dengan dasar perkauman dan diskriminasinya (MB Kedah). Tiada kritikan akan dilihat sebagai tanda sokongan kepada MB (Kedah).”

Oleh yang demikian, ahli parlimen itu menggesa MIC dan MCA mendesak Majlis Presiden PN  untuk mengecam dan memaksa Sanusi menarik semula pembatalan itu. Jika PN gagal, maka kempen memboikot PAS perlu dilancarkan di seluruh negara.

“Jika para pemimpin PN masih menganggap perikatan ini sebagai sebuah gabungan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, maka MIC dan MCA patut mendesak Majlis Presiden Perikatan Nasional untuk mengecam dan menggesa MB Kedah menarik semula pembatalan cuti umum sempena Thaipusam, jika gagal, MIC harus melancarkan “Kempen Boikot PAS” seluruh negara atas sebab tidak sensitif dan tidak bertoleransi terhadap agama-agama lain.”

Bukan itu sahaja, Teresa juga menyeru semua parti komponen PN, terutamanya dari Sabah dan Sarawak untuk memprotes polisi MB Kedah itu yang disifatkan sebagai memecahbelah dan mendiskriminasi. Ini kerana, tidak mustahil dasar PAS itu juga akan mendorong dasar diskriminasi bangsa dilaksanakan di negeri-negeri lain.

“Di samping itu, sudah tiba masa untuk parti-parti komponen PN, terutamanya dari Sabah dan Sarawak menyuarakan bantahan mereka terhadap kenyataan dari Kedah, negeri pimpinan PAS yang bersifat diskriminasi dan memecahbelah itu, kerana jika kerajaan pimpinan PAS tersebut dapat melaksanakan dasar diskriminasi seperti itu di Kedah, ia juga akan mendorong dasar diskriminasi kaum di negeri-negeri lain juga.”

Teresa mengakhiri kenyataannya dengan memberi amaran  kepada Sanusi untuk berjaga-jaga.

“PAS mempunyai ingatan jangka pendek dan akan menderita sepertimana UMNO menderita apabila Ali Rustam mengeluarkan beberapa kenyataan bersifat perkauman sewaktu PRU-13 beberapa tahun lalu lantas mengakibatkan kehilangan kerusinya. Sejarah mempunyai cara yang aneh untuk berulang. Jaga-jaga Sanusi.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: