Tempatan

Lalu Lintas Dijangka Sesak Sehingga Lewat Malam Ini – Pegawai JSPT

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 08 Mei 2022 – Lalu lintas dijangka akan lebih sesak bermula tengah hari ini hingga lewat malam susulan daripada cuti hari raya Aidilfitri yang telah berakhir dan ramai pengguna turut merebut peluang ini untuk menikmati tawaran tol percuma yang disediakan.

Portal berita Harian Metro melaporkan, kenyataan ini dikeluarkan oleh Pegawai Turus Penguatkuasa Zon Tengah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Asisten Superintendan Nasyrul Ridzuan Abd Razak semalam.

Menurut beliau, berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh Unit Dron Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula 3 petang semalam, laporan mendapati kesesakan melebihi 10 kilometer bermula dari KM425 hingga KM435 arah selatan Lebuhraya Plus berhampiran susur Rawang Selatan.

“Hari ini kita dibantu Unit Dron PDRM turut mengesan pesalah melakukan potong barisan di lokasi dikenal pasti sebagai kawasan yang mempunyai kesesakan agak tinggi.

“Kami bersama dua pasukan melakukan tinjauan berkenaan dan sekatan di susur Rawang Selatan untuk mengesan pesalah serta membuat penahanan,” ujar beliau.

Bagi tujuan perekodan, volum keluar ke destinasi masing-masing adalah sebanyak 14 juta buah kenderaan daripada 30 lebuh raya yang menghubungkan Lembah Klang pada cuti Aidilfitri lalu bagi tempoh 28 April hingga 1 Mei lalu.

Tambah Asisten Superintendan Nasyrul Ridzuan, pihak PDRM menasihatkan pengguna untuk terus bersabar dalam pemanduan dan mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.

“Pihak PDRM menasihati semua pengguna jalan raya merancang perjalanan supaya cukup rehat apabila memandu dan pastikan juga mengisi minyak sebelum perjalanan supaya tidak berlaku kesesakan di stesen minyak di lebuh raya.”

“Selain itu pihak PDRM menggesa semua pengguna jalan raya mengawal emosi dan bertolak ansur supaya semua selamat sampai ke destinasi.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: