Lagi Tuduhan Keganasan Terhadap Wanita Oleh Tokoh Politik Kiri Perancis
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PERANCIS, 27 September 2022 – Julien Bayou yang merupakan mantan Presiden Bersama Parti Hijau Ekologi Eropah (EELV), sebuah parti sayap kiri di Perancis sekali lagi telah dituduh melakukan keganasan fizikal terhadap bekas temannya.
Tuduhan tersebut telah menyebabkan Bayou terpaksa melepaskan jawatannya pada Isnin lalu berikutan tekanan yang dikenakan terhadapnya oleh ahli-ahli partinya yang lain.
Namun tuduhan keganasan terhadap wanita itu telah dinafikan oleh Bayou. Beliau juga menyatakan bahawa kedudukannya sebagai ahli parlimen adalah tidak berubah buat masa ini.
Bayou yang juga seorang pejuang alam sekitar itu berdepan dengan tekanan setelah Sandrine Rousseau, yang juga salah seorang ahli parti EELV telah membuat kenyataan di sebuah rancangan televisyen, mendakwa bahawa beliau telah berjumpa dengan bekas pasangan Buyou yang disifatkannya berada dalam keadaan yang “amat tertekan”.
Dalam kenyataan yang sama juga Rousseau telah mendakwa bahawa Bayou mempunyai “perangai yang menyebabkan para wanita mengalami kekacauan mental”.
Tuduhan tersebut datang ketika mana sebuah skandal hangat melibatkan seorang lagi ahli parlimen Perancis yang mewakili sebuah lagi parti sayap kiri, France Unbowed (LFI) yang mengaku memukul isterinya ketika proses perpisahan masih lagi menjadi topik umum.
Calon Presiden, Jean-Luc Melenchon pernah mempertahankan Bayou namun ianya telah mengundang kritikan dalam kalangan ahli parti berhaluan kiri kerana tidak menjaga ikrar mereka dalam melindungi hak-hak wanita dan menentang keganasan jantina.