Lagi Sekatan AS Terhadap Rusia
SELASA, 27 OGOS 2024 – Jabatan Negara dan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat lalu telah membuat pengumuman berkenaan tindakan sekatan terbaharu terhadap Rusia pada hari di mana Ukraine bakal menyambut hari kemerdekaan mereka.
Sekatan terbaharu itu kini menjadikan hampir 400 individu dan banyak syarikat di Rusia dan di seluruh dunia telah terkesan, termasuklah anak kepada Menteri Pertahanan Rusia, Andrey Belousov dan pasangannya.
Sekatan tersebut adalah sebagai isyarat berkenaan sokongan berterusan Washington terhadap Kiev dalam berhadapan dengan konflik dengan Moscow.
Kini sekatan tersebut diluaskan pula kepada entiti-entiti serta individu-individu di Asia, Eropah dan juga di Timur Tengah.
Menurut jabatan yang sama, terdapat “hampir sedozen rangkaian yang berbeza” yang melibatkan lebih daripada 100 individu dan entiti di seluruh 16 negara termasuklah China, Switzerland, Turki dan Emiriah Arab Bersatu.
Kini, 18 syarikat lain yang berpusat di Hong Kong juga telah dituduh oleh AS dengan dakwaan mempunyai hubungan dengan industri ketenteraan Rusia.