Tempatan

Lagi Pesakit HFMD Dimasukkan Ke ICU

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 01 Jun 2022 – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui satu kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kementerian itu telah merekodkan satu lagi kes yang melibatkan pesakit Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ini menjadikan tiga kes HFMD yang dimasukkan ke ICU direkodkan setakat ini oleh KKM.

Pesakit HFMD ketiga dimasukkan ke ICU adalah disebabkan beliau berada di bawah pemantauan selepas menerima pembedahan perut.

Menurut kenyataan, pesakit tersebut telah dipindahkan ke wad pembedahan biasa pada 27 Mei 2022 untuk pemantauan lanjut.

Walau bagaimanapun, dua lagi pesakit HFMD yang telah dimasukkan ke ICU kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis) masih lagi diletakkan di bawah pemantauan rapi ICU.

Selain itu, KKM turut mengumumkan mengenai situasi terkini penyakit HFMD di Malaysia iaitu bagi tahun 2022 sehingga 28 Mei 2022, sebanyak 65,535 kes HFMD dilaporkan yang menjadikan peningkatan sebanyak 27 kali ganda bagi tempoh yang sama bagi tahun 2021.

Sebelum ini, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut mendedahkan sejumlah 47,209 kes penyakit Tangan, Kaki dan Mulut atau “Hand, Foot And Mouth Disease” (HFMD) di Malaysia telah dilaporkan iaitu dengan peningkatan sebanyak 20 kali ganda berbanding tahun 2021.

KKM memaklumkan bahawa peningkatan tersebut telah dijangkakan berikutan pergerakan penduduk Malaysia semasa sambutan hari raya.

Leave a Reply

Back to top button