Kuwait Kini Benarkan Transgender
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KAHERAH, 20 Februari 2022 – Mahkamah Perlembagaan Kuwait baru-baru ini memansuhkan undang-undang membenarkan golongan transgender didakwa.
Menurut mahkamah, statut itu melanggar hak asasi dan kebebasan rakyat Kuwait.
Keputusan ini disambut dengan penuh kegembiraan oleh golongan transgender Kuwait.
Dakwa mereka, selama ini mereka sering diserang secara fizikal dan seksual oleh pihak polis Kuwait kerana penampilan mereka berbeza dengan apa yang tertera di dalam dokumen kad pengenalan.
Artikel 198, undang-undang yang dimansuhkan pada hari Rabu baru-baru ini menyatakan bahawa “menyerupai jantina berlawanan” merupakan satu kesalahan jenayah.
Artikel yang sebelum ini dipinda pada bulan Mei 2007 oleh Majlis Kebangsaan Kuwait itu didakwa memberi pihak berkuasa Kuwait kebebasan untuk menahan dan mendakwa individu yang dilihat tidak sepadan dengan jantina di dalam kad pengenalan mereka.
Keputusan mahkamah yang menyatakan Artikel 198 sebagai tidak berperlembagaan itu juga disambut baik oleh Badan Pemerhati Hak Asasi Manusia (Human Rights Watch).
“Keputusan mahkamah adalah satu langkah positif, kerana undang-undang diskriminasi ini telah digunakan untuk mengganggu, menahan dan menyeksa golongan transgender di Kuwait,” kata Human Rights Watch.
Menurut laporan, keputusan itu diambil susulan kontroversi penangkapan seorang pempengaruh terkenal Kuwait, Maha al-Mutairi, yang merupakan seorang transgender.
Maha mendakwa dan menuduh pegawai polis berulang kali menderanya kerana “menyerupai jantina yang berlainan” sewaktu beliau ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara.
“Tuhan jadikan saya seperti ini. Saya harap saya akan merasa seperti lelaki dalam diri saya. Saya rela membayar semua wang di dalam dunia ini untuk menjadi dan bergaya seperti lelaki normal. Kenapa kamu lakukan sebegini terhadap saya?” dakwa Maha lagi.
Artikel 198 yang dipinda menyatakan, “mana-mana orang yang melakukan perbuatan tidak senonoh di tempat awam, atau menyerupai rupa jantina berlainan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau denda”.