Tempatan

Kupang PD Selamat Dimakan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SEREMBAN, 20 Ogos 2024 – Masyarakat khususnya di negeri ini tidak perlu khuatir untuk membeli dan menikmati kupang dari perairan Port Dickson selepas analisis makmal menunjukkan ia telah selamat dimakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, analisis makmal tersebut telah dijalankan banyak kali dan mengambil masa beberapa bulan sekaligus menunjukkan ketelitian pihak berwajib sebelum larangan pengeluaran hasil kupang ditarik balik baru-baru ini.

“Apabila sudah ada kajian dilakukan, masyarakat tidak perlu rasa waswas sebab bacaan biotoksinnya telah rendah. Apabila bacaan rendah barulah dibenarkan kerana kajian yang dibuat itu juga mengambil masa lama, sebelum disahkan selamat untuk dimakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri.

Terdahulu, Jabatan Perikanan menarik balik larangan ke atas penuaian dan penjualan kerang-kerangan termasuk kupang di perairan Negeri Sembilan termasuk Melaka yang sebelum ini dikuatkuasakan.

Larangan itu ditarik balik berikutan bacaan biotoksin bagi sampel ke-15 telah menunjukkan penurunan ke paras selamat iaitu di bawah 400 per bilion (ppb).

Bagaimanapun seperti dilaporkan akhbar ini, terdapat nelayan dan pengusaha ternakan di Pasir Panjang yang berharap kerajaan menerusi agensi berkaitan untuk mempromosikan semula kerang-kerangan khususnya kupang di daerah Port Dickson

Menurut mereka, masih terdapat orang ramai ramai yang khuatir untuk membeli kupang dari Port Dickson walaupun penarikan balik larangan pengeluaran kerang-kerangan itu telah diuar-uarkan.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau berterima kasih di atas keputusan penarikan semula larangan tersebut yang sekali gus membolehkan nelayan dan penternak dapat mengeluarkan hasil kerang-kerangan yang menjadi sumber pendapatan tambahan mereka.

Pada masa sama, beliau turut menggesa semua pihak untuk menjaga perairan sungai dan laut supaya tidak tercemar.

“Ini antara faktor yang memberi kesan tempoh hari dimana hampir enam bulan lebih penternak terjejas. Harap dengan dibenarkan penjualan kupang akan meningkatkan lagi pendapatan nelayan kita di kawasan Port Dickson,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: